am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Selepas enam hari bertungkus lumus memadamkan kebakaran di pusat pengumpulan bahan kitar semula di Jalan Padang Tembak, Pengkalan Chepa di sini, operasi pemadaman akhirnya tamat hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Chepa, Alam Nasut Ilias berkata, operasi pemadaman secara rasmi dihentikan jam 5.04 petang.
“Untuk hari ini, kerja ‘overhaul’ dijalankan dan semburan air hanya membabitkan tempat yang masih berasap sahaja dan jam 5.04 petang ini, secara rasminya operasi ditamatkan.
“Selama enam hari, lebih 60 anggota bomba dari tiga BBP bertungkus lumus memadamkan api dan untuk hari terakhir ini, hanya 14 anggota sahaja terbabit.
“Dengan bantuan bekalan air dari Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) serta dua jengkaut yang disediakan majikan, ia sangat membantu melancarkan operasi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Dalam kejadian jam 6 petang Ahad lalu, lokasi seluas 0.68 hektar itu terbakar membabitkan hampir 10,000 tan barangan kitar semula yang disusun mencecah lima meter tinggi.
Alam Nasut berkata, majikan pusat pengumpulan bahan kitar semula itu memaklumkan premis akan dibuka semula esok dengan kerja pembersihan.
Difahamkan premis itu mempunyai lesen sementara yang diperoleh pada Mei lalu dan jangka masa operasi adalah selama setahun.
© New Straits Times Press (M) Bhd



