am@hmetro.com.my
Melaka: Kerajaan akan meneruskan usaha Operasi Pembenihan Awan (OPA) secara berperingkat bagi meningkatkan paras air di beberapa empangan, khususnya di kawasan Selatan tanah air.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata bagi peringkat awal, pelaksanaan OPA dilakukan di Melaka, semalam.
Bagaimanapun, katanya, hasilnya kurang memberangsangkan, dipercayai akibat faktor luruan angin yang menyebabkan awan komulus dan kumulonimbus tidak bergerak tepat ke kawasan empangan yang disasarkan.
Sehubungan itu, menurutnya, kerajaan akan melaksanakan percubaan kali kedua dan ketiga sehingga objektif meningkatkan jumlah air di empangan dapat dicapai.
“Usaha kali kedua yang akan dilaksanakan dengan kerjasama beberapa agensi berkaitan belum mencapai hasil yang diharapkan, operasi pembenihan awan akan diteruskan sehingga keperluan bekalan air di Melaka dapat dipenuhi sepenuhnya.
“Buat masa ini, bekalan air semasa di Melaka dibantu melalui sumber dari Sungai Gersik, Muar, namun kerajaan berusaha memastikan bekalan air dapat dijana daripada sumber tempatan,” katanya selepas menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abd Halem di Stadium Tun Fatimah, Bukit Serindit di sini malam ini.
Turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; EXCO Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin dan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP), berkata usaha sama turut dilaksanakan di Johor bagi membantu meningkatkan paras air di beberapa empangan negeri itu.
Katanya, usaha di kawasan Utara seperti Perlis, Kedah dan Perak Utara yang dilaksanakan sebelum ini menunjukkan hasil positif paras air empangan meningkat antara 3.5 hingga 10 milimeter hasil operasi pembenihan awan yang dijalankan.
Namun, katanya, masalah bekalan air yang berlaku ketika ini adalah bersifat sementara dan dijangka beransur pulih menjelang pertengahan bulan depan.
“Saya mahu menzahirkan penghargaan kepada jawatankuasa bencana negeri Melaka, Johor serta negeri lain yang terbabit dalam usaha pembenihan awan ini.
“Kerjasama semua pihak sangat penting dan saya akan terus menyelaras tindakan bersama agensi berkaitan bagi memastikan isu ini dapat ditangani dengan berkesan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




