mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Operasi ketika waktu puncak iaitu pada pagi dan petang bagi perkhidmatan rel (LRT, MRT dan KL Monorel) dan bas kendalian Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) akan diselaraskan sepanjang bulan Ramadan tahun ini bermula esok.
Prasarana dalam satu kenyataan berkata, perubahan pada waktu puncak itu adalah untuk memudahkan perjalanan pengguna sepanjang bulan Ramadan, terutamanya bagi mereka yang ingin menuju ke destinasi masing-masing untuk berbuka puasa.
Menurutnya, operasi waktu puncak pagi akan ditambah 30 minit iaitu bermula 6.30 pagi sehingga 9.30 pagi berbanding waktu sekarang iaitu dari 7 pagi sehingga 9.30 pagi.
“Operasi pada waktu puncak petang ditambah satu jam 30 minit bermula dari 4 petang sehingga 8 malam, berbanding 5 petang hingga 7.30 malam waktu sekarang.
“Perjalanan pengguna akan menjadi lebih lancar dengan penambahan dan peningkatan kekerapan tren.
“Diharapkan dengan inisiatif ini, ia akan menggalakkan orang awam untuk menggunakan pengangkutan awam sekali gus mengurangkan kesesakan jalan raya,” katanya.
Menurutnya, waktu puncak operasi bas bagi perkhidmatan RapidBus di Lembah Klang dan Pulau Pinang termasuk bas-bas perantara MRT, operasi waktu puncak pagi adalah dari 6.30 pagi sehingga 9.30 pagi, manakala waktu puncak petang adalah dari 4 petang sehingga 8 malam.
“Operasi waktu puncak perkhidmatan RapidBus di Kuantan adalah seperti biasa.
“Mini Bazar Ramadan dan Jualan Juadah Berbuka di sekitar Stesen Rel Bersempena bulan Ramadan di mana anak syarikat Prasarana iaitu Prasarana Integrated Development Sdn Bhd (PRIDE) akan membuka mini bazar Ramadan di tiga stesen LRT terpilih iaitu Stesen LRT Pasar Seni, Stesen LRT Damai, dan Stesen LRT Ampang Park,” katanya.
Menurut Prasarana, terdapat juga jualan makanan dan minuman berkonsepkan ‘grab and go’ di bazar rakyat sedia ada yang sesuai dijadikan juadah berbuka seperti di Stesen LRT Sri Rampai, Stesen LRT Taman Melati dan Stesen LRT Gombak.
“Juadah ini akan mula dijual pada 3.30 petang hingga 7.30 malam. Kemudahan ini akan memberi peluang kepada pengguna untuk mendapatkan juadah berbuka puasa,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




