PETALING JAYA: Operator pelancongan marin perlu mempertingkat langkah keselamatan berikutan risiko jerebu serta perubahan cuaca menjelang musim monsun, khususnya di destinasi selam skuba dan snorkeling.
Presiden Malaysia Scuba Diving Association (MSDA), Aminor Azmi Abdul Latip berkata, ini kerana jerebu boleh menjejaskan kesihatan serta menyukarkan pengendali bot mengesan bot lain dan peserta aktiviti di permukaan air.
“MSDA memandang serius risiko kualiti udara tidak sihat di kawasan destinasi pulau.
Memuatkan artikel berkaitan…
“Operator perlu sentiasa menyemak bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) yang mewakili kawasan berhampiran, di samping menilai jarak penglihatan sebenar di laut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut makluman METMalaysia, fasa peralihan monsun dijangka berlangsung dari 9 hingga penghujung Oktober, dengan potensi ribut petir, hujan lebat dan angin kencang.
Keadaan ini kata Aminor Azmi, menuntut sifat waspada yang lebih tinggi dalam merancang perjalanan laut.
“Menjelang penghujung musim operasi bagi banyak pengusaha di pulau-pulau Pantai Timur Semenanjung Malaysia, MSDA menegaskan bahawa usaha memenuhi tempahan terakhir sebelum penutupan bermusim tidak boleh mengatasi pertimbangan keselamatan.
“Tarikh operasi hendaklah disesuaikan dengan keadaan setempat dan arahan pihak berkuasa,” katanya.
Tambahnya lagi, MSDA turut menyokong keputusan operator dan pengendali bot untuk menangguh atau membatalkan
trip apabila keadaan tidak selamat.
“Keputusan tersebut ialah tindakan profesional dan bertanggungjawab.
Penilaian perlu mengambil kira amaran cuaca, angin, ombak, jarak penglihatan, keadaan bot dan kemampuan kru.
“Jika keadaan merosot ketika aktiviti sedang berlangsung, hentikan aktiviti dan laksanakan pelan kembali atau berlindung di lokasi yang selamat mengikut penilaian pengendali bot. Pelancong diminta menghormati keputusan keselamatan dan tidak mendesak perjalanan diteruskan kerana telah membuat bayaran.
“Operator pula perlu memberikan penerangan yang jelas serta membincangkan penjadualan semula atau penyelesaian yang munasabah mengikut terma tempahan,” katanya.
Selain itu, MSDA turut menyeru Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam (APAM) serta agensi berkaitan supaya memperkukuh kesiapsiagaan aset, anggota dan komunikasi bagi menghadapi kemungkinan kecemasan di laut.
“Operator perlu menyimpan saluran hubungan kecemasan yang betul dan segera melaporkan kejadian dengan maklumat lokasi, jumlah individu terlibat serta keadaan semasa.
“Komunikasi antara operator berhampiran juga wajar diperkukuh untuk membantu penyampaian maklumat dan penyelarasan bantuan.
Walau bagaimanapun, kesiapsiagaan pasukan penyelamat tidak boleh dijadikan alasan untuk meneruskan perjalanan berisiko,” katanya. – UTUSAN




