Ops di LDP: 14 motosikal disita, 56 saman dikeluarkan

Ops di LDP: 14 motosikal disita, 56 saman dikeluarkan

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Subang Jaya: Polis menyita 14 motosikal dan mengeluarkan 56 saman atas pelbagai kesalahan dalam Ops Motosikal di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dekat Plaza Tol Batu 13 Puchong, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, operasi khas terbabit dilaksanakan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya dengan kerjasama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor.

“Seramai 11 pegawai bersama 107 anggota polis ditugaskan untuk operasi ini dan hasilnya, 120 orang dan 115 motosikal telah diperiksa.

“Manakala, sebanyak 56 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Wan Azlan berkata, seorang penunggang motosikal dikesan memandu dan menunggang kenderaan di bawah pengaruh alkohol dan disiasat di bawah Seksyen 45 A (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Katanya, empat penunggang motosikal pula disiasat mengikut Seksyen 42 akta sama kerana menunggang kenderaan secara melulu dan berbahaya.

“Selain itu, sebanyak 14 motosikal disita kerana mengubahsuai kenderaan dan tidak memiliki lesen memandu kenderaan yang sah,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Azlan menasihati ibu bapa dan penjaga supaya sentiasa memantau dan mengambil tahu pergerakan anak-anak.

“Ini bertujuan supaya mereka tidak terjebak dengan aktiviti lumba haram yang boleh membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya yang lain,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top