harisfadli@hmetro.com.my
Puchong: Gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi dalam tong yang berat keseluruhannya lebih 1 tan yang disyaki diseleweng dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor menerusi Ops Gasak di sini, semalam.
Ketua Penguat Kuasa KPDN Selangor, Mohd Hanizam Kechek berkata, sindiket itu menjalankan aktiviti ‘decanting’ iaitu satu teknik bagi memindahkan LPG daripada tong isi rumah bersaiz 14 kilogram (kg) kepada tong kegunaan industri.
“Hasil daripada serbuan dan pemeriksaan ke atas premis terbabit menemukan sebuah kenderaan lori dengan dua individu warga asing berusia lewat 40-an.
“Warga asing terbabit sedang menjalankan aktiviti ‘decanting’ gas LPG 14kg bersubsidi kepada tong gas 50kg komersial di dalam ruangan lori berkenaan.
“Tangkapan dibuat ke atas dua lelaki warga asing terbabit untuk rakaman percakapan bagi keperluan siasatan awal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, tindakan sindiket melakukan proses ‘decanting’ di dalam lori terbabit, dipercayai bagi mengelirukan dan mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.
Katanya, pasukan serbuan menemukan pelbagai peralatan bagi proses ‘decanting’, antaranya hos penyambung, tong ais, dan sejumlah air batu digunakan bagi proses itu.
“Hasil daripada penemuan peralatan berkenaan, KPDN Selangor mengesyaki aktiviti di premis ini menjual LPG 50kg yang berisi LPG bersubsidi kepada pihak industri dengan harga yang lebih rendah berbanding harga sebenar mengikut pasaran.
“Sitaan dibuat ke atas tong LPG pelbagai jenama berkapasiti 14kg dan 50kg, melebihi 90 unit, dengan anggaran jumlah berat LPG melebihi 1,000 kg dianggarkan bernilai lebih RM100,000,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan denda mencecah RM 1 juta dan penjara bagi kesalahan pertama, dan denda boleh mencecah RM3 juta bagi kesalahan berikutnya.
Mohd Hanizam berkata, serbuan itu dijalankan KPDN Selangor bersama Cawangan Khas Polis Selangor susulan risikan pihaknya ke atas sindiket terbabit sejak kira-kira satu bulan lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd