am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Sindiket persundalan warga asing dikesan menggunakan taktik kawalan ketat dengan melantik ‘captain’ mengurus operasi di dalam premis, manakala kawasan luar dipantau ‘Abang Long Kawasan’.
Bagaimanapun, kegiatan itu berjaya ditumpaskan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menerusi Ops Gegar di sebuah premis rumah kedai empat tingkat sekitar Kota Raya, Jalan Tun Siew Sin, di sini, semalam.
Operasi jam 3.30 petang itu dijalankan sepasukan anggota JIM bersama Pasukan Taktikal Khas (PASTAK), Bahagian Perisikan dan Operasi Khas serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hasil risikan selama sebulan.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya memeriksa seramai 29 individu membabitkan 27 warga asing dan dua warga tempatan.
“Susulan itu, 24 warga asing ditahan terdiri daripada sembilan wanita warga Indonesia, tujuh wanita warga Bangladesh, lima lelaki warga Bangladesh serta masing-masing seorang lelaki warganegara Nepal, Indonesia, dan Myanmar.
“Kami turut mengeluarkan lima saman saksi kepada dua lelaki warga tempatan dan tiga lelaki warga Bangladesh yang berada di premis berkenaan bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, sindiket berkenaan dipercayai menjalankan aktiviti persundalan yang menyasarkan pelanggan warga asing dan warga tempatan dengan menawarkan perkhidmatan antara RM80 hingga RM120 bagi setiap sesi selama 15 minit.
Katanya, modus operandi yang digunakan adalah dengan menawarkan perkhidmatan seks secara terus kepada pelanggan oleh penjaga premis yang beroperasi di Tingkat 3 dan Tingkat 4 bangunan berkenaan.
“Bagi memastikan operasi berjalan secara tersusun, wanita yang terbabit dijadualkan mengikut dua syif iaitu syif siang dari jam 10 pagi hingga 8 malam dan syif malam dari jam 8 malam hingga 5 pagi,” katanya.
Katanya, premis haram itu dikawal rapi bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa dan pengurusan dalaman premis dikendalikan oleh seorang warga asing yang dikenali sebagai ‘captain’, manakala kawasan luar premis dipantau oleh seorang lelaki tempatan yang dikenali sebagai ‘Abang Long Kawasan’ bagi menyaring dan memantau pergerakan pelanggan.
“Selain kawalan fizikal dan penggunaan kamera litar tertutup (CCTV), sindiket itu turut memilih lokasi berhampiran stesen bas yang sentiasa sibuk bagi mengaburi perhatian pihak penguatkuasa.
“Bagaimanapun, pegawai risik PASTAK berjaya menembusi sistem kawalan sindiket dan memperoleh maklumat taktikal penting yang membawa kepada kejayaan operasi ini,” katanya.
Zakaria berkata, pihaknya menyita beberapa barang bukti termasuk buku catatan (buku 555) milik setiap wanita yang ditahan, kondom, minyak pelincir serta set CCTV yang dipercayai digunakan bagi tujuan pemantauan keselamatan premis.
“Semua warga asing yang ditahan ditempatkan di Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




