Ops Hazard: Sisa e-waste bernilai RM721 juta dirampas di empat negeri

Ops Hazard: Sisa e-waste bernilai RM721 juta dirampas di empat negeri

harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelbagai jenis sampah elektronik atau e-waste bernilai RM721 juta dirampas menerusi 12 serbuan Ops Hazard di Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Komander Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) Senior Asisten Komisioner Hakemal Hawari berkata, seramai 47 individu ditahan sepanjang operasi itu berlangsung.

“Pecahan serbuan membabitkan 12 kes, iaitu tujuh serbuan di kawasan tanggungjawab Selangor, Negeri Sembilan (dua serbuan), Melaka (satu serbuan), dan Johor (dua serbuan).

“Pecahan tangkapan pula membabitkan empat lelaki dan seorang wanita tempatan serta 40 lelaki dan dua wanita warga asing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, tangkapan warga asing membabitkan individu dari Indonesia, Myanmar, Bangladesh, Kemboja, China, dan Singapura.

Katanya, kejayaan operasi itu hasil kerjasama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM), termasuk Pasukan Gerakan Udara, Jabatan Alam Sekitar dan pihak berkuasa tempatan yang terbabit.

“Kesemua serbuan disiasat mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, Akta Senjata Api 1960, dan Akta Imigresen 1963.

“PDRM melalui PGA khususnya akan terus menjalankan tugas menjaga keselamatan negara dan ketenteraman awam dengan penuh tanggungjawab,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top