suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Sebanyak 41 notis dikeluarkan dan tiga pemandu dikesan positif dadah dalam Ops Khas Bas Bersepadu Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPJ WPKL) di Plaza Tol Gombak dan Stesen Penguatkuasa (SPK) Gombak, di sini, semalam.
JPJ WPKL dalam kenyataan memaklumkan, operasi membabitkan beberapa agensi bertujuan memastikan tahap pematuhan undang-undang oleh pengendali bas persiaran dan kenderaan perkhidmatan awam berada pada tahap terbaik terutama menjelang musim cuti akhir tahun.
“Hasil operasi, sebanyak 13 kenderaan diambil tindakan manakala 41 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan yang melibatkan aspek teknikal, dokumentasi serta keselamatan.
“Tindakan yang diambil termasuk pengeluaran notis saman, larangan penggunaan kenderaan, dan arahan pemeriksaan lanjut.
“Kesalahan lain yang turut dikesan melibatkan cermin gelap serta pelbagai isu teknikal kenderaan yang memerlukan tindakan susulan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
JPJ WPKL berkata, selain pemeriksaan teknikal, 66 pemandu menjalani ujian saringan urin oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan tiga dikesan positif Methamphetamine.
“Di bawah pemantauan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), sebanyak 56 bas persiaran diperiksa dan empat tindakan diambil mengikut Akta Industri Pelancongan,” katanya.
Katanya, operasi ini dilaksanakan secara bersepadu ini merangkumi pemeriksaan fizikal kenderaan, semakan dokumen, dan penilaian keselamatan.
“Semua kesalahan yang dikesan telah dikenakan tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang,” katanya.
Turut hadir ketika operasi ialah Pengarah MOTAC WPKL, Mohamad Nawwar FaiqMohamad Noh, pegawai-pegawai kanan serta anggota JPJ WPKL, AADK dan MOTAC.
© New Straits Times Press (M) Bhd



