Ops Luxury: 1,814 kenderaan mewah disita sejak tahun lalu

Ops Luxury: 1,814 kenderaan mewah disita sejak tahun lalu

mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Sebanyak 1,814 kenderaan mewah pelbagai jenis disita Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) menerusi Ops Luxury sejak tahun lalu hingga semalam.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan & Operasi), JPJ, Datuk Jazmanie Shafawi berkata, daripada jumlah itu, 899 sitaan direkodkan pada 2025, manakala 915 pada tahun ini.

Katanya, JPJ akan melaksanakan operasi itu secara berterusan di seluruh negara bagi mengesan dan mengambil tindakan terhadap pemilik kenderaan mewah yang gagal memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM).

“Antara jenis kenderaan mewah yang disita termasuk Porsche dan Lamborghini, selain beberapa jenis premium lain yang dikenal pasti gagal memperbaharui LKM.

“JPJ ingin menegaskan bahawa kegagalan memperbaharui LKM adalah satu kesalahan serius mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333),” katanya pada sidang media di Depoh Tunda JPJ Kuala Lumpur, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan dan Pengarah JPJ Kuala Lumpur Hamidi Adam.

Jazmanie berkata, mana-mana kenderaan yang digunakan di jalan raya tanpa LKM sah boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan termasuk kompaun dan sitaan tanpa sebarang kompromi.

“Selain melanggar undang-undang, penggunaan kenderaan tanpa LKM yang sah turut mengundang risiko besar kepada pemilik serta pengguna jalan raya lain kerana kenderaan berkenaan berisiko tidak dilindungi insurans sekiranya berlaku kemalangan.

“JPJ memandang serius isu ketidakpatuhan ini dan akan terus memperkukuh penguatkuasaan melalui operasi berfokus, pemantauan lapangan serta pengesanan secara digital bagi memastikan setiap pemilik kenderaan mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai khususnya pemilik kenderaan mewah disaran segera membuat semakan dan memperbaharui LKM masing-masing melalui saluran rasmi JPJ termasuk aplikasi MyJPJ dan portal MySikap bagi mengelak dikenakan sebarang tindakan undang-undang.

“Pemilik kenderaan yang ditahan sering memberi alasan terlepas pandang namun dalam situasi sekarang, alasan diberikan mereka itu tidak patut berlaku kerana aplikasi MyJPJ akan mengeluarkan notis pemakluman apabila LKM tamat tempoh.

“Jadi ia sepatutnya boleh disedari pemilik kenderaan apabila MyJPJ menghantar notis pemakluman itu,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top