Ops Samseng Jalanan: Polis sita 117 motosikal, tahan empat penunggang

Ops Samseng Jalanan: Polis sita 117 motosikal, tahan empat penunggang

Ipoh: Polis menyita 117 motosikal di lampu isyarat Simpang Lawin, Jalan Kuala Kangsar-Gerik dekat Kuala Kangsar, menerusi Operasi Samseng Jalanan semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar ACP Heisham Harun berkata operasi itu dijalankan bermula 10 malam dengan kerjasama Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Hasil risikan dan operasi, polis menahan empat penunggang motosikal untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Selain itu, sebanyak 117 motosikal disita di bawah Seksyen 64 akta sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sebanyak 252 saman telah dikeluarkan polis manakala 119 notis saman oleh JPJ terhadap kesemua penunggang dan pemandu motosikal serta kereta atas pelbagai kesalahan lalu lintas dan pengubahsuaian motosikal.

Beliau berkata sebanyak 12 penunggang motosikal telah menjalani ujian air kencing dengan dua daripadanya didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

Kedua-duanya, katanya kini disiasat mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top