am@hmetro.com.my
Lahad Datu: Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) mencatatkan nilai rampasan RM24 juta menerusi Operasi Sanggah sepanjang tahun lalu.
Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos berkata, nilai rampasan tertinggi membabitkan penyeludupan rokok, arak dan barang kawalan tidak bercukai berjumlah RM18 juta.
Katanya, lebih 2.1 juta pemeriksaan fizikal terhadap orang, kenderaan dan bot turut dilakukan sepanjang operasi berkenaan.
“Daripada pemeriksaan itu 536 orang ditahan dan 227 kenderaan serta bot dirampas atas pelbagai kesalahan.
“Seramai 97 individu bersama 44 bot pula diusir daripada sempadan negara,” katanya ketika menyampaikan amanat Tahun Baharu 2025 sempena Majlis Perhimpunan ESSCOM 2025, hari ini.
Turut hadir Timbalan Komander ESSCOM, Brigadier Jeneral Mohamad Ismail Kamarudin, Ketua-ketua Staf Keselamatan, Pengarah-pengarah Awam dan warga kerja ESSCOM.
Dalam pada itu, Victor menyeru seluruh warga ESSCOM supaya meneruskan momentum kerja sebagai satu pasukan dalam suasana gembira dan bersemangat kental.
“Seruan itu adalah selaras dengan keazaman supaya Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone) kekal selamat dan kesejahteraan komunitinya sentiasa terjamin.
“ESSCOM akan terus komited menjadi benteng utama dalam menjaga keselamatan dan ketenteraman awam serta memelihara kedaulatan wilayah Sabah.
“Kita akan terus melaksanakan Operasi Sanggah, Operasi Bersepadu, Gasak Darat dan Laut serta Operasi Khas bagi mengekang pencerobohan dan jenayah rentas sempadan,” katanya
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ESSCOM, Datuk Dr Jamaluddin Mohd Ali berkata, tiga fokus utama Bahagian Awam ESSCOM untuk tahun ini iaitu, memperkukuh kerjasama atau kolaborasi dalam pasukan dan agensi luar.
“Fokus kedua, inovasi dan penambahbaikan kerana ancaman keselamatan yang dinamik mendorong kita menerima pakai teknologi baharu dan kekal selangkah ke hadapan.
“Fokus ketiga pula adalah yang paling utama iaitu memperkasa sesi libat urus bersama komuniti ESSZone,” katanya.
Ā© New Straits Times Press (M) Bhd