harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Seramai 5,544 pegawai dan anggota trafik akan dikerahkan bagi penugasan Ops Selamat 26 Hari Raya Aidilfitri bermula 19 hingga 24 Mac ini.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohammed Hasbullah Ali berkata pihaknya menjangkakan pergerakan sekitar 2.3 juta kenderaan menggunakan lebuh raya seluruh negara sempena Aidilfitri.
“Konsep utama Ops Selamat adalah pencegahan dan penguatkuasaan penuh di mana JSPT membuat persiapan awal bagi menyelaras penugasan di semua kontinjen.
“Ops Selamat bertujuan mengurangkan kemalangan terutama kemalangan maut di samping memastikan kelancaran trafik.
“Pendekatan yang lebih tegas diambil kepada kesalahan lalu lintas bagi memberi kesedaran,” katanya pada Majlis Pelancaran Ops Selamat 26 Hari Raya Aidilfitri, hari ini.
Menurutnya, sebanyak 25 ‘blackspot’ kemalangan dan ‘hotspot’ kesesakan trafik sudah dikenal pasti untuk diberikan perhatian yang lebih sepanjang penugasan Ops Selamat 26.
Katanya, Pasukan Perubatan Kecemasan (ERT) akan ditempatkan di 11 lokasi tumpuan sepanjang lebuh raya utama bagi memberi perkhidmatan perubatan awal sekiranya berlaku perkara tidak diingini.
“Bagi memastikan keselamatan, tindakan tegas serta merta akan diambil ke atas mereka yang melanggar enam kesalahan utama.
“Kesalahan seperti berikut memandu lebih had laju, menggunakan alat telekomunikasi, salah guna lorong kecemasan, tidak patuh lampu isyarat, memotong garisan berkembar, dan potong barisan ‘Q’.
Beliau berkata, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga akan turut melaksanakan pemantauan dan menguatkuasakan larangan pergerakan bagi kenderaan tertentu terutama jentera berat bagi mengurangkan kesesakan.
Katanya, orang ramai diminta memastikan kenderaan termasuk mental dan fizikal dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan serta merancang pergerakan dengan mendapatkan maklumat melalui saluran rasmi.
“Paling utama kita perlu ingat bila bawa kereta bukan jaga keselamatan kita sahaja tetapi membabitkan nyawa penumpang dan pengguna jalan raya yang lain,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




