kartika@mediaprima.com.my
BANK Islam Malaysia Bhd (BIMB) optimis mencapai peningkatan 10 peratus jumlah deposit bagi akaun pelaburan Al-Awfarnya menjelang akhir tahun ini.
Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan Bank Islam, Mizan Masram berkata, sasaran pertumbuhan dua angka itu turut disokong menerusi kerjasama dengan MasterCard melalui pelancaran Kad Debit-i Mastercard Bank Islam yang patuh Syariah.
Katanya, produk baharu itu juga adalah sebahagian daripada strategi bank untuk memperkukuh kedudukannya dalam sektor perbankan Islam.
“Dengan pelbagai tawaran baharu dan kempen strategik, bank menyasarkan pertumbuhan dua angka pada tahun ini bagi akaun pelaburan Al-Awfar.
“Program Al-Awfar mencerminkan visi Bank Islam dalam memperkasakan pelanggan untuk mencapai aspirasi mereka sambil mempromosikan keterangkuman kewangan,” katanya selepas majlis pengenalan Kad Debit-i Bank Islam Mastercard dan penyampaian hadiah utama kempen Al-Awfar di sini, semalam.
Mizan berkata, dengan kerjasama Mastercard, Bank Islam dapat menawarkan penyelesaian inovatif yang menggabungkan ganjaran dan kemudahan.
Menurutnya, tawaran baharu ini memberikan pemegang kad manfaat dan ganjaran eksklusif melalui program pelaburan Al-Awfar, yang menampilkan jumlah hadiah melebihi RM18 juta.
Beliau berkata, untuk setiap kad yang dikeluarkan, RM2 akan disumbangkan kepada Sadaqa House, inisiatif kewangan sosial Bank Islam yang menyokong program zakat dan wakaf, sekali gus menambah nilai kepada produk ini.
Kad debit baharu ini yang berlandaskan prinsip perbankan Islam, menawarkan penerimaan global di lebih 100 juta peniaga, di samping menjamin keselamatan dan transaksi kewangan yang beretika.
Sempena pelancaran ini, Bank Islam turut memperkenalkan kempen Pulangan Tunai Kad Debit-i Mastercard yang berlangsung semalam hingga 31 Ogos depan, membolehkan pelanggan menikmati pulangan tunai 1.0 peratus bagi transaksi di peniaga terpilih.
© New Straits Times Press (M) Bhd




