Orang Asal teras kepelbagaian Malaysia, kerajaan MADANI jamin hak mereka tidak digadai – Aaron Ago

Orang Asal teras kepelbagaian Malaysia, kerajaan MADANI jamin hak mereka tidak digadai – Aaron Ago

Kerajaan MADANI menegaskan komitmen untuk memperkukuh perlindungan hak masyarakat Orang Asal melalui penyemakan semula Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) yang merangkumi aspek pemilikan tanah, pendidikan dan infrastruktur.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, berkata kerajaan mengiktiraf masyarakat Orang Asal sebagai komponen penting dalam pembentukan identiti negara dan pemeliharaan kepelbagaian budaya Malaysia.

“Sambutan ini adalah satu penghormatan kepada identiti, budaya, sumbangan dan hak-hak masyarakat Orang Asal yang merupakan salah satu komponen penting dalam kepelbagaian bangsa dan budaya di negara kita,” katanya ketika merasmikan sambutan Hari Antarabangsa Orang Asal Sedunia di Tadom Hills, hari ini.

 Orang Asal teras kepelbagaian Malaysia

Beliau berkata, sambutan bertema Pertahankan Bumi, Pulihkan Tanah, Hijauan Semula Masa Depan – Melalui Kearifan Orang Asal! itu menjadi platform untuk meningkatkan kesedaran mengenai hak dan cabaran yang dihadapi komuniti tersebut.

Menurutnya, melalui Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), kerajaan memberi tumpuan serius bagi meningkatkan kualiti hidup masyarakat Orang Asli secara menyeluruh dan bersepadu.

“Ini merupakan langkah ikhtiar kerajaan untuk memacu pembangunan sosioekonomi masyarakat Orang Asli supaya mereka dapat menikmati kehidupan yang lebih baik dan bermaruah,” katanya lagi.

Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk penubuhan lembaga adat bagi mereformasi tadbir urus kepimpinan tradisional, memperkukuh peranan Penghulu atau Batin, serta memperluas akses kepada pendidikan dan latihan kemahiran teknikal dan vokasional (TVET) dengan bantuan persekolahan dan biasiswa.

Artikel lain: Mahasiswa ejen perubahan sosial, tonggak perpaduan – Aaron Ago

Aaron turut menyeru masyarakat Orang Asal untuk mengambil peranan lebih aktif dalam Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di kawasan masing-masing.

“Penglibatan dalam KRT bukan sahaja membuka ruang untuk memperkukuh hubungan sosial dan semangat kejiranan, malah dapat membantu masyarakat Orang Asal mendapat akses yang lebih baik kepada program-program pembangunan setempat,”ujar beliau.

Katanya, kerajaan juga komited memelihara bahasa, warisan lisan dan seni budaya masyarakat Orang Asal sebagai aset kebangsaan yang penting dalam menangani isu global seperti perubahan iklim dan kemusnahan biodiversiti.

“Sambutan pada pagi ini bukan sekadar acara tahunan semata-mata, tetapi merupakan seruan bersama kepada seluruh rakyat Malaysia agar terus menghormati, melindungi, dan memartabatkan hak serta maruah masyarakat Orang Asal,” katanya.

Pada majlis itu, penghargaan turut diberikan kepada Jaringan Orang Asal SeMalaysia (JOAS) dan beberapa organisasi lain yang terus memperjuangkan hak komuniti tersebut.

Scroll to Top