Orang Asli mati dibaham harimau – Utusan Digital

GUA MUSANG: Kemeriahan sambutan perayaan menuai padi dan menangkap ikan sungai masyarakat Orang Asli suku kaum Temiar di Kampung Sau, Pos Bihai di sini bertukar tragedi apabila seorang lelaki maut dipercayai dibaham harimau hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.10 pagi, mangsa, Anek Along, 40-an, dikatakan sedang menumbuk padi huma di belakang rumahnya namun hilang sebelum mayatnya dijumpai penduduk dalam hutan.

Tidak jauh dari mayat mangsa yang berlumuran darah ketika itu ialah seekor harimau belang.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, mangsa disedari hilang kerana tidak menyahut panggilan anak perempuannya beberapa kali.

“Anaknya mencari bapanya di belakang rumah sebelum melihat kesan darah pada daun-daun pokok lalu meminta bantuan penduduk kampung untuk mengesan mangsa berdasarkan kesan darah ditinggalkan.

“Tidak lama kemudian mereka menjumpai mayat mangsa tidak jauh bersama harimau terbabit. Haiwan itu dikatakan lari ke dalam hutan selepas terkena lembing yang dibaling penduduk,” katanya.

Choon Foo berkata, penduduk segera melaporkan kejadian itu kepada anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) yang berada di Sekolah Kebangsaan (SK) Bihai.

Katanya, anggota polis tiba di tempat kejadian pada pukul 5.40 petang dan mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Gua Musang untuk tindakan lanjut.