Orang dalam FAM patut bertanggungjawab, bukan jadikan saya kambing hitam – TMJ

Orang dalam FAM patut bertanggungjawab, bukan jadikan saya kambing hitam – TMJ

Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail mahu individu dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bertanggungjawab dan tidak lepas tangan susulan keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) membabitkan tujuh pemain Harimau Malaya.

Baginda dalam satu hantaran di laman media sosial X mendakwa terdapat segelintir ‘orang dalam’ FAM yang bertindak mendalangi kempen sabotaj bagi menjadikan baginda sebagai kambing hitam dalam isu berkenaan.

Titah baginda, individu terbabit dipercayai menyimpan rasa tidak puas hati sejak dahulu kerana gagal memanipulasi kedudukan untuk mengaut keuntungan peribadi.

Orang dalam FAM patut bertanggungjawab

Lebih mengejutkan, Tunku Mahkota Ismail mendakwa ada pihak daripada badan induk bola sepak negara itu pernah datang bersemuka bagi meminta pertolongan mendapatkan projek selain memohon bantuan agar mereka tidak disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Ramai yang kecewa apabila kerajaan membantu memberi dana kepada pasukan kebangsaan. Ramai tak puas hati kerana ada yang tidak terlibat.
“Jadi (mereka) secara senyap berjumpa Ultras Malaya, beberapa pengamal media dan beberapa individu di media sosial untuk memulakan kempen sabotaj serta menggunakan pelbagai naratif,” titah baginda.

Pada Khamis lalu, CAS sebahagiannya menerima rayuan tujuh pemain Harimau Malaya terhadap hukuman yang dikenakan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung pemalsuan dokumen naturalisasi dan kelayakan.

Dalam keputusan operasi yang dikeluarkan tanpa alasan terperinci, CAS memutuskan tujuh pemain berkenaan masih dikenakan penggantungan selama 12 bulan.

Bagaimanapun, larangan itu kini hanya terpakai kepada perlawanan rasmi dan bukan semua aktiviti berkaitan bola sepak.

Artikel lain: Isu pemain warisan: ‘Bawa saya ke mahkamah dengan apa sahaja bukti’ – TMJ

CAS turut mengekalkan denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) yang dikenakan terhadap FAM dan menyifatkan hukuman itu wajar serta seimbang.

Menyentuh mengenai kes di CAS itu, Tunku Mahkota Ismail menegaskan bahawa isu berkenaan berpunca daripada pemalsuan dan penghantaran dokumen, bukannya berkaitan kelayakan kerakyatan pemain.

“Siapa yang buat penyerahan dokumen yang salah? Ejen dan siapa dalam FAM? Mengapa tak serahkan dokumen yang sah dari JPN? Kerana nak selamatkan orang dalam, pemain dipersalahkan.
“Semasa hujah dalam perbicaraan CAS, pihak FIFA pun tak boleh jawab apabila ditanya mana bukti pemain terlibat atau bersubahat,” titah baginda.

Baginda turut meluahkan rasa kesal dengan tindakan yang didakwa sebagai ‘pilih kasih’ oleh FIFA apabila kes itu dilayan secara berbeza berbanding kes lain sebelum ini.

“Orang dalam (FAM) patut bertanggungjawab. Bukan lepas tangan dan gunakan penyokong dan media untuk jadikan saya kambing hitam,” titah baginda.

Scroll to Top