'Orang hidup dalam ketakutan' – Pasar lembu sunyi menjelang Aidiladha di Bengal Barat

'Orang hidup dalam ketakutan' – Pasar lembu sunyi menjelang Aidiladha di Bengal Barat

New Delhi: Kurang seminggu sebelum Aidiladha, pasar lembu Dhulagarh yang luas di pinggir Kolkata, ibu negeri Bengal Barat di India kelihatan lengang dan sunyi, lapor Al Jazeera.

Peniaga berkumpul dalam kumpulan kecil di bawah bumbung zink, manakala lebih 200 ekor lembu yang disediakan untuk dijual sempena perayaan umat Islam itu masih diikat pada tiang buluh di kawasan terbuka, berdepan cuaca panas musim panas.

Namun, tiada pelanggan kelihatan.

Seorang penjual Hindu yang datang ke pasar itu dari daerah Midnapur Timur, 130 kilometer di barat daya Kolkata memberitahu Al Jazeera bahawa dia membuat beberapa pinjaman dengan faedah tinggi untuk membeli ternakannya sebelum dijual kembali.

Dalam sebuah negeri yang mempunyai hampir 25 juta penduduk Islam atau 27 peratus daripada jumlah penduduknya, ia sepatutnya menjadi musim perniagaan yang menguntungkan.

Tetapi, katanya, tahun ini berbeza.

“Siapa mahu beli lembu? Orang hidup dalam ketakutan,” kata penjual Hindu itu yang enggan dikenali kerana bimbang tindakan balas pihak berkuasa.

Selama beberapa dekad, pasar lembu Dhulagarh dikunjungi penjual yang hampir semuanya Hindu dan pembeli Muslim yang membuat persediaan untuk ibadah korban sempena Aidiladha.

Selain kambing atau biri-biri, ramai keluarga Muslim sering berkongsi wang untuk membeli seekor lembu jantan, kerbau atau unta untuk dikorbankan.

Walaupun undang-undang 1950 melarang penyembelihan lembu secara terbuka, negeri Bengal Barat yang pelbagai budaya itu sudah lama diperintah oleh golongan Marxis atau parti politik berhaluan tengah yang memilih untuk tidak menguatkuasakan undang-undang terbabit secara ketat.

Negeri itu serta ibu kotanya berkembang menjadi pusat makanan terkenal dengan pelbagai hidangan daging lembu dan daging lain yang dijual di gerai jalanan dan restoran.

Namun semuanya berubah pada 6 Mei apabila Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi yang berhaluan majoriti Hindu berjaya mengambil alih kuasa di Bengal Barat buat kali pertama.

Seminggu selepas pilihan raya, Ketua Menteri baharu, Suvendu Adhikari, mengarahkan penguatkuasaan ketat undang-undang 1950 itu yang melarang penyembelihan lembu tanpa sijil sah daripada pegawai kerajaan yang mengisytiharkan haiwan itu layak disembelih.

Penyembelihan hanya boleh dilakukan di rumah sembelih perbandaran atau lokasi yang ditetapkan pentadbiran tempatan.

Undang-undang itu juga menetapkan semua haiwan yang disembelih mesti berusia lebih 14 tahun.

Ramai penganut Hindu terutamanya daripada kasta atasan, menganggap lembu sebagai haiwan suci dan penyembelihannya diharamkan di kebanyakan negeri di India.

Sejak Modi menjadi perdana menteri pada 2014, kumpulan pemantau lembu yang melantik diri sendiri dan disokong BJP membunuh beramai-ramai puluhan Muslim serta petani dan peniaga lembu Hindu di seluruh negara atas syak wasangka membawa atau memakan daging lembu.

Selepas kemenangan pilihan raya BJP di negeri itu, peniaga daging lembu di seluruh Bengal Barat melaporkan penurunan mendadak jualan apabila ketakutan menyelubungi penjual daging, pengusaha restoran dan penjaja makanan jalanan di negeri timur India itu.

Restoran The Burger Shop yang berpangkalan di Kolkata mengumumkan mereka menghentikan penjualan burger daging lembu terkenal mereka.

“Burger kami tiada agama. Tetapi politik ada,” tulis restoran itu di Instagram.

“Pada 14 Mei, kami dimaklumkan pembekal daging lembu kami menutup perniagaannya. Dia dipanggil ke balai polis tempatan dan diminta menutup sementara perniagaan.

“Kami tidak dapat mencari pembekal lain dengan segera, jadi kami terpaksa menghentikan jualan burger daging lembu.

“Pelanggan tetap kami kecewa dan daging lembu menyumbang sebahagian besar perniagaan kami,” kata pemilik bersama restoran itu, Utsha kepada Al Jazeera.

Kebanyakan penjual daging, khususnya Muslim, menutup kedai mereka apabila harga lembu hidup jatuh daripada 400 rupee (sekitar RM16) sekilogram kepada serendah 150 rupee (RM6.21)

“Kami sudah menjalankan perniagaan kedai daging selama 60 tahun dan mempunyai lesen sah. Selama tinggal di Kolkata, kami sentiasa melihat keamanan.

“Tetapi sejak beberapa minggu lalu, keadaan menjadi huru-hara,” kata Mohammad Hasim, 65, pemilik dua kedai daging di kawasan New Market, Kolkata.

“Pembekal takut. Permintaan daripada kedai makan kecil yang menjual hidangan daging lembu dan membeli daging mentah daripada kami juga hampir tiada.

“Sekarang kami tutup kedai seawal 1.30 tengah hari dan pulang ke rumah. Dahulu kami berniaga sehingga sekitar jam 7 malam,” katanya.

Haider Ali, 62, yang mengendalikan kedai daging lembu berlesen di pasar sama berkata, pengusaha restoran tidak lagi membeli bahan mentah daripadanya kerana takut.

Kembali di pasar lembu Dhulagarh, tiga penjual Hindu memikirkan nasib ekonomi mereka.

“Walaupun kami berjaya menjual beberapa ekor lembu, kami tetap mengalami kerugian besar,” kata salah seorang daripada mereka.

Katanya, setiap haiwan yang tidak terjual, mereka rugi kira-kira 5,000 rupee (RM200).

Selain berniaga lembu, mereka bekerja sebagai buruh binaan sepanjang tahun untuk menyara hidup.

Antara penjual di Dhulagarh ialah Sundor, seorang peniaga lembu Muslim yang hanya dikenali dengan nama panggilannya.

Menurutnya, dia membuat pinjaman sebanyak satu juta rupee (RM41,400) dengan mencagarkan barang kemas ibunya untuk membeli lembu bagi musim perayaan itu.

“Kami biasanya memperoleh sekitar 10 hingga 15 lakh rupee (RM41,000 hingga RM61,000)sepanjang musim perayaan.

“Tahun ini, seekor pun daripada 25 ekor lembu saya belum terjual. Apa yang saya harus lakukan sekarang? Saya benar-benar takut,” katanya kepada Al Jazeera sambil menambah bahawa tahun lalu dia menjual hampir 100 ekor lembu.

Mempertahankan langkah mengawal penyembelihan lembu, jurucakap BJP, Debjit Sarkar berkata kepada Al Jazeera bahawa undang-undang yang sebelum ini tidak dipatuhi kini dikuatkuasakan secara ketat.

Jayasimha Nuggehalli, seorang peguam dan bekas ahli Lembaga Kebajikan Haiwan India, berkata, undang-undang larangan penyembelihan lembu di India sering digambarkan sebagai langkah perlindungan haiwan.

“Tetapi reka bentuk dan pelaksanaannya lebih berkait dengan persoalan identiti, perdagangan dan kehidupan masyarakat luar bandar berbanding dasar kebajikan haiwan yang menyeluruh,” katanya kepada Al Jazeera.

“Apa yang kita lihat di negeri seperti Bengal Barat adalah sebahagian daripada trend lebih besar di mana kawalan terhadap lembu dan daging menjadi medan pertikaian politik.

“Ia berdasarkan dasar terdahulu di negeri-negeri yang telah lama mengenakan sekatan atau larangan penyembelihan lembu,” katanya.

Bukan sahaja tindakan keras kerajaan terhadap perdagangan atau penggunaan daging lembu yang menakutkan masyarakat Islam menjelang Aidiladha.

Penduduk di banyak kawasan kejiranan Muslim di seluruh Bengal Barat berkata, mereka diarahkan oleh wakil rakyat BJP yang baharu dipilih supaya tidak menunaikan solat di jalanan.

Ia adalah amalan biasa di Asia Selatan kerana kebanyakan masjid tidak mampu menampung semua jemaah ketika solat Jumaat atau solat Aidiladha.

Di kawasan Mullick Bazaar dan Park Circus di Kolkata yang biasanya sesak dan sering dikunjungi masyarakat Muslim sebelum perayaan, peniaga berkata, hampir tiada perniagaan berlaku.

“Pasar kosong. Tidak pernah jadi seperti ini,” kata seorang penjual kain pelikat di Mullick Bazaar yang enggan namanya didedahkan kerana takut tindakan pihak berkuasa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top