am@hmetro.com.my
Putrajaya: Tidak dinafikan wujudnya ‘barua’ tempatan yang menjadi punca ketirisan minyak masak subsidi milik rakyat dalam skala besar setiap bulan.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Datuk Azman Adam berkata, KPDN tidak menafikan ada segelintir syarikat pengedar, pemborong, pembungkus (repackers) bersekongkol dengan sindiket untuk melakukan aktiviti penyelewengan ke atas minyak masak bersubsidi.
Menurutnya, sikap keterlaluan untuk mendapatkan keuntungan dengan mudah melalui aktiviti jenayah ini menjadi faktor utama penyeludupan memandangkan harga minyak masak bersubsidi di Malaysia jauh lebih rendah berbanding di negara jiran.
“Kementerian akan terus mempertingkatkan tindakan penguatkuasaan termasuk bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain bagi memastikan ketirisan dan aktiviti penyelewengan minyak masak bersubsidi dapat dibanteras.
“Ini terbukti apabila KPDN melalui Bahagian Penguat Kuasa dengan kerjasama pejabat KPDN negeri berjaya menumpaskan sindiket penyelewengan minyak masak bersubsidi menerusi Ops Tiris 3.0 dalam siri serbuan terbaharu dilakukan ke atas beberapa buah premis di sekitar negeri Perak, Selangor dan Johor.
“Pihak diserbu pada Ogos lalu adalah rantaian syarikat pengilang, pembungkusan dan pemborong minyak masak. Nilai keseluruhan ketirisan subsidi minyak masak dalam operasi ini dianggarkan boleh mencecah RM20 juta.
Menurutnya, dalam satu kes terbaharu pada 23 Ogos lalu, KPDN bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya mematahkan sindiket penyelewengan minyak masak bersubsidi hasil serbuan terhadap tiga premis berasingan di Nilai, Negeri Sembilan.
“Dalam serbuan itu, sebanyak 180,200kg minyak masak bersubsidi pelbagai jenama berjaya disita, selain kenderaan dan beberapa dokumen seperti invois jualan dan belian.
“Nilai keseluruhan rampasan dalam operasi itu dianggarkan berjumlah RM490,500,” katanya.
Menurutnya, KPDN turut mengadakan operasi bersepadu bersama agensi penguatkuasaan lain seperti Polis Gerakan Am PDRM, Pasukan Polis Marin, Kastam DiRaja Malaysia (KDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta l agensi lain bagi memastikan penguatkuasaan dilaksanakan lebih berkesan.
“Bagi penguatkuasaan di sempadan maritim negara. KPDN turut melakukan kerjasama bilateral antara negara jiran untuk mengekang ketirisan barang bersubsidi di sempadan negara selain Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM),” katanya.
KPDN tentu lokasi edar, hantar bekalan
Kuala Lumpur: Penetapan lokasi bekalan minyak masak paket bersubsidi kepada premis peruncitan oleh kerajaan mampu memastikan ketirisan barang kawalan itu tidak lagi berlaku.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali sebelum ini berkata, syarikat pembungkusan dibenarkan menentukan lokasi pengedaran atau membuat penghantaran bekalan minyak masak mengikut permintaan.
“Tapi selepas ini, bukan lagi syarikat pembungkusan menentukannya, tapi KPDN tentukan senarai bekalan. KPDN akan serahkan senarai (runcit) kepada syarikat pembungkusan melihat kepada keperluan di daerah itu,” katanya.
Menurutnya, langkah itu diambil KPDN selepas pihaknya melakukan audit dalaman bagi mengenal pasti aktiviti dan punca penyelewengan barangan kawalan itu.
“Sesi libat urus berhubung langkah itu, kini dijalankan di semua negeri dan ketua-ketua cawangan KPDN di peringkat daerah sedang menentukan premis peruncitan yang memerlukan bekalan minyak masak subsidi.
“Menerusi langkah itu, KPDN dapat memantau syarikat pembungkusan menerusi sistem eCOSS, sama ada mereka menghantar bekalan mengikut senarai ditetapkan atau sebaliknya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




