'Orang lain sedang bersedih, takkan kita nak berseronok'

'Orang lain sedang bersedih, takkan kita nak berseronok'

am@hmetro.com.my

Sungai Petani: “Kejadian yang berlaku di luar jangkaan. Orang lain sedang bersedih, takkan kita nak berseronok.

“Saya bercadang untuk tamatkan ekspo ini lebih awal kerana masih sedih dengan kejadian ini,” kata Abdul Lokman Azimi, wakil penganjur tapak ekspo Dataran Jam Besar selepas kejadian letupan tong gas yang meragut nyawa seorang lelaki dan tiga cedera.

Abdul Lokman berkata, pihaknya bercadang untuk menamatkan lebih awal ekspo itu sebagai menghormati mangsa dan keluarga.

“Kita hormat kepada keluarga mangsa, jadi kita boleh berhenti,” katanya ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Pada kejadian itu, mangsa yang meninggal dunia, Azmi Ahmad, 42, adalah pekerja kedai vendor minuman manakala tiga yang cedera masing-masing berusia 15, 36 dan 49 tahun.

Abdul Lokman berkata, ekspo yang bermula sejak Rabu lalu itu sepatutnya berlangsung sehingga 26 Mei ini dengan penyertaan 30 peniaga.

Katanya, ramai peserta masih trauma dan mahu menarik diri selepas kejadian itu.

“Kebanyakan mereka trauma dan mahu berhenti selepas kejadian itu tetapi kita cuba pujuk mereka sementara tunggu keputusan pihak majlis dan pejabat daerah,” katanya.

Selain itu, dia turut berharap pihak berkuasa dapat mempertimbangkan pemulangan semula bayaran sewa tapak dan urusan berkaitan yang dianggarkan hampir RM18,000.

Sementara itu, tinjauan di lokasi mendapati, kebanyakan gerai tidak beroperasi susulan kejadian itu, manakala hanya sebuah gerai menjual kasut dilihat masih dibuka.

Dalam pada itu, saksi kejadian, Amir Nazri berkata, dia melihat individu di lokasi mengendalikan tong gas sebelum menyedari asap keluar daripada bahagian bawah tong berkenaan.

Katanya, ketika itu, dia berada berhampiran tempat itu dan sedang mengisi air paip.

“Selepas itu, ada orang beritahu tong itu bocor di bahagian bawah sebelum ia tiba-tiba meletup,” katanya.

tamat

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top