'Orang luar cakap Malaysia negara rumit dijaga, banyak 'peel', tapi aman – Anwar

'Orang luar cakap Malaysia negara rumit dijaga, banyak 'peel', tapi aman – Anwar

am@hmetro.com.my

Putrajaya: Negara luar melihat Malaysia dan Asean sebagai rantau paling aman di dunia dan pantas dalam pertumbuhan ekonomi, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, perkara itu disampaikan kepadanya sepanjang lawatan kerjanya di ke luar negara seperti China, Mesir, Arab Saudi, Peru, Brazil dan Korea Selatan, baru-baru ini.

Beliau menegaskan, Malaysia khususnya menjadi negara contoh kerana memiliki pelbagai kaum dan agama serta warna kulit, namun memiliki semangat kesatuan yang tinggi.

“Orang luar meneropong, dia cakap (Malaysia) ini antara negara rumit dijaga, banyak ‘peel’ (ragam), pelbagai warna kulit, tapi ada semangat kesatuan dan aman.

“Rantau Malaysia dan Asean juga dianggap paling pantas kelajuan dan pertumbuhan ekonomi,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Festival Idea Putrajaya (FOI) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Dalam pada itu, Anwar menempelak segelintir pihak yang muflis idea dan mencari isu untuk menarik orang ramai melalui perkauman yang sempit.

Katanya, sebagai contoh kalau dalam kalangan orang Melayu akan tercabar kerana ada satu dua poster dalam Bahasa Cina, dalam kalangan orang Cina pula, mereka akan kata rakyat Cina dinafikan hak dan tercabar.

“Pergi ke negeri (pula) akan kata hak rakyat Sabah terhakis, ini semua sentimen yang boleh menarik orang tapi tugas anak muda ialah untuk mendapat pencerahan cara kritis, kebenaran mengenai kenyataan, mendengar dari semua pihak dan mencari jalan penyelesaiannya.

“Kalau tidak, seperti kita tahu dia (pihak tidak bertanggungjawab) guna sentimen perkauman yang kononnya kebebasan dan nasionalisme. Dia bukan yakin dengan patriotisme, tetapi guna sentimen untuk membakar semangat membenci orang,” katanya.

Beliau berkata, pimpinan politik pula berhujah dengan penuh kebencian dan tidak membicarakan soal dasar serta tidak ada kupasan sehingga hilang nilai kasih sayang.

“Tidak pernah ada satu fahaman atau ideologi, agama atau nilai yang mempertahankan untuk kerosakan, menghina, mencaci dan memfitnah.

“Kita juga tak mahu orang lemah, rosak, rasuah, melakukan kecurangan tetapi kita seru dengan semangat kasih sayang, bukan mencari kelemahan, mengada-adakan apa yang tidak ada, fitnah saban hari kerana kita ada media sosial,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top