Orang ramai berpeluang derma berbuka puasa untuk pelarian Syria

Orang ramai berpeluang derma berbuka puasa untuk pelarian Syria

PETALING JAYA: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Syria Care membuka peluang kepada orang ramai untuk memberikan sumbangan kepada mangsa pelarian Syria sempena Ramadan nanti.

Ketua Pegawai Eksekutif Syria Care, Siti Sakinah Meor Omar Baki berkata, kempen yang dikenali Ramadan Al-Khair itu menyasarkan kutipan RM4.2 juta untuk 720,000 orang pelarian dari negara berkenaan.

Katanya, menerusi kempen tersebut, pihaknya akan menyediakan makanan berbuka puasa untuk pelarian Syria yang hidup dalam keadaan daif serta serba kekurangan.

“Orang ramai yang mahu membuat sumbangan boleh menempah menerusi  ‘OderFood’ di laman sesawang https://www.syriacare.org.my/oderfood/ dan makanan berkenaan akan terus dihantar ke Syria.

“Platform ini menyediakan dua jenis pesanan antaranya set iftar. Setiap satu set iftar berharga RM15 boleh memberi makan untuk tiga orang. Kami juga menyediakan pek makanan mengandungi beras, gula, teh, pasta, pes tomato dan lain-lain keperluan berharga RM150 untuk satu keluarga. Jadi ada dua pilihan yang kita sediakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu Siti Sakinah berkata, sumbangan rakyat Malaysia kepada mangsa pelarian Syria semakin berkurangan sejak tiga tahun kebelakangan ini. 

Katanya, kemerosotan sumbangan membabitkan 18 peratus dari tahun 2019 sehingga 2020 manakala 25 peratus bagi tahun 2020 hingga 2021.

“Saya tidak nafikan berlakunya pandemik Covid-19 menjadi salah satu faktor jumlah sumbangan merosot, bagaimanapun tetap bersyukur kerana ada rakyat Malaysia tidak jemu memberikan sumbangan,” jelasnya. – UTUSAN