am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Delegasi dan aktivis kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 dari Malaysia kini dalam perjalanan pulang ke tanah air selepas selesai melaksanakan misi kemanusiaan untuk Gaza serta berdepan detik mencabar susulan tindakan pintasan dan penahanan oleh rejim Zionis di perairan antarabangsa.
Sumud Nusantara Official dalam hantaran di Instagram berkata, semua peserta Malaysia sudah dibebaskan hasil usaha diplomatik berterusan serta kerjasama erat antara Kerajaan Malaysia, Wisma Putra, Kedutaan Malaysia di Turkiye dan pelbagai pihak yang sentiasa mengikuti perkembangan misi berkenaan.
Menurutnya, orang ramai dijemput hadir bersama-sama di Balai Ketibaan Domestik, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, esok bermula jam 9 malam.
Katanya, ia bagi menunjukkan solidariti dan menyambut kepulangan aktivis kemanusiaan yang sudah membawa suara Palestin ke pentas dunia.
“Pihak Sumud Nusantara menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia atas doa, solidariti dan sokongan yang tidak pernah putus sejak hari pertama misi ini digerakkan.
“Semoga misi ini menjadi bukti bahawa suara kemanusiaan tidak akan mampu dibungkam dan solidariti rakyat Malaysia untuk Palestin akan terus hidup,” katanya di sini, hari ini.
Sebelum ini media melaporkan, seramai 428 aktivis peserta GSF 2.0 termasuk 29 rakyat Malaysia yang ditahan secara tidak sah oleh tentera Israel sudah dibebaskan kelmarin, dan dijangka pulang ke tanah air, esok.
© New Straits Times Press (M) Bhd




