Orang ramai mula belanja wang bantuan SARA RM100

Orang ramai mula belanja wang bantuan SARA RM100

lokman.khairi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Orang ramai memanfaatkan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100 dengan membeli barangan keperluan harian di kedai terpilih seluruh negara, hari ini.

Inisiatif kerajaan itu mendapat pujian terutamanya golongan pesara yang bergantung kepada bantuan untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Pesara swasta, Shoib Muhamad, 71, dari Pangsapuri Putra Ria, di sini, berkata bantuan itu membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat terutama golongan warga emas.

“Seawal jam 10.30 pagi tadi saya sudah keluar ke kedai runcit kerana mahu menebus bantuan kewangan itu.

“Saya dapat beli barangan keperluan asas seperti tepung, gula, sos, telur dan sabun mandi, malah masih ada baki yang boleh digunakan sehingga 31 Disember depan.

“Alhamdulillah, inisiatif ini sangat baik dan saya harap kerajaan akan teruskan pada tahun akan datang,” katanya ketika ditemui di sebuah kedai runcit di Jalan Bangsar, di sini, hari ini.

Dia turut memuji kaedah penyaluran bantuan kewangan melalui MyKad yang disifatkan sangat efektif dan telus.

“Ini bermakna warga Malaysia sahajalah yang dapat, tidak berlaku ketirisan kepada warga asing,” katanya.

Pesara Telekom Malaysia, Md Derus Md Yunys, 77, turut menzahirkan rasa gembira selepas menebus SARA bagi membeli gula, tepung, minyak masak dan beras di kedai runcit sama.

“Saya tidak perlu bersusah payah pergi bank untuk keluarkan wang bantuan, boleh terus ke kedai runcit, pilih barang keperluan asas di rak dan buat pembayaran dengan MyKad,” katanya.

Pelajar kolej, Nurul Huda Azman, 24, berkata bantuan RM100 itu sangat membantu perbelanjaan mingguannya.

“Sebagai pelajar, setiap sen amat berharga. Dengan RM100 ini, saya dapat beli barang keperluan diri, sedikit barang dapur untuk masak sendiri sekali gus jimat duit makan di luar,” katanya.

Pada 23 Julai lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pemberian RM100 secara sekali beri kepada setiap warganegara dewasa berusia 18 tahun dan ke atas melalui MyKad di bawah program SARA sempena sambutan Hari Kebangsaan 2025, hari ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top