Orang ramai patuh had 2 jam

Orang ramai patuh had 2 jam

bhnews@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Sebanyak 144 kompleks perniagaan di seluruh negara sudah diperiksa pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sepanjang dua hari pelaksanaan Operasi Had 2 Jam (OPS HAD2J).

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata seramai 7,179 pengunjung diperiksa aplikasi MySejahtera masing-masing bagi menentukan tidak berada di sesuatu premis melebihi dua jam.

“Pemeriksaan semalam dan kelmarin masih menumpukan kompleks perniagaan besar yang berpotensi menjadi tempat tumpuan orang ramai.

“Tempoh paling singkat pengunjung dikesan (berada dalam premis) adalah lima minit manakala paling panjang adalah satu jam 50 minit.

“Setakat ini tiada kompaun dikeluarkan,” katanya kepada media selepas tinjauan pemantauan OPS HAD2J di Kompleks beli-belah Mid Valley di sini, hari ini.

Alexander berkata, penguatkuasaan OPS HAD2J akan diteruskan ke premis lain termasuk pasar malam, pasar tani, premis runcit dan kedai serbaneka bagi memastikan pematuhan penuh operasi.

Untuk memastikan keberkesanan had masa maksimum itu, katanya, orang ramai digalak merancang perjalanan dan menyenaraikan barangan yang ingin dibeli.

“Selain pematuhan had masa maksimum dua jam, semua pihak sama ada pengguna dan peniaga perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.

“KPDNHEP memohon kerjasama pihak pengurusan kompleks, pasar raya, agensi dan sebagainya untuk berperanan ke arah memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap perkara ini,” katanya.

Alexander berkata, penggunaan buku rekod dibenarkan untuk kawasan yang bermasalah liputan internet selain mereka yang tidak mempunyai telefon pintar.

“KPDNHEP mengalu-alukan pendekatan kreatif pengusaha kompleks seperti memperkenalkan sistem pelekat berwarna mengandungi tarikh dan waktu masuk pelanggan, selain meletakkan pegawai khas mengingatkan pematuhan SOP kepada pelanggan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top