Orang Yaman dan Sudan dikesan jadi 'prebet sapu'

Orang Yaman dan Sudan dikesan jadi 'prebet sapu'

hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Warga asing dikesan berani menjadikan kenderaan persendirian sebagai ‘prebet sapu’ tanpa lesen bagi memperoleh wang mudah.

Tindakan itu dihidu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam operasi khas di sekitar ibu kota, semalam.

Operasi bermula jam 9 pagi hingga 11 malam itu dijalankan JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) bersama Ibu Pejabat JPJ Putrajaya di beberapa lokasi panas seperti Jalan Bukit Bintang, Jalan Imbi, Jalan Sultan Ismail dan Jalan Walter Granier.

Pengarah JPJ WPKL, Hamidi Adam berkata, operasi membabitkan 70 anggota penguat kuasa itu menahan 10 pemandu prebet sapu termasuk lima warga asing dari Bangladesh, Yaman, India dan Sudan yang dipercayai menjalankan perkhidmatan pengangkutan awam tanpa kebenaran.

“Sebanyak 10 kenderaan disita atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu, salah guna Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan beroperasi tanpa lesen pengendali,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat JPJ Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan terhadap 27 kenderaan turut membawa kepada keluaran 26 notis saman di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD).

“Lima pemandu dikesan tidak memiliki lesen memandu sah, seorang menyalahgunakan LKM manakala 20 lagi beroperasi tanpa lesen pengendali atau Kebenaran Pengendali Awam (KPA).

“Kes disiasat mengikut Seksyen 80 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membolehkan kenderaan disita dan dibawa ke mahkamah untuk dilucut hak jika sabit kesalahan,” katanya.

Hamidi berkata, JPJ tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menyalahgunakan kenderaan persendirian bagi tujuan komersial atau membenarkan warga asing memandunya tanpa lesen sah.

“Pemilik kenderaan juga boleh dikenakan tindakan undang-undang jika membenarkan kenderaan mereka digunakan untuk tujuan komersial tanpa lesen.

“Orang awam digalakkan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti prebet sapu atau pemanduan tanpa lesen melalui aplikasi MyJPJ: e-Aduan atau e-mel aduantrafik@jpj.gov.my,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top