Orkestra Alam Shah mendunia

Orkestra Alam Shah mendunia

nurul_husna@hmetro.com.my

Selepas meraih Anugerah Perak untuk kategori Divisyen 1 di ‘Singapore International Band Festival’, Singapura tahun lalu, ‘Alam Shah Wind Orchetsra’ (ASWO) melangkah lebih tinggi dengan meraih Anugerah Emas di ‘The 6th North Eastern Winds International Festival’ di Korat, Thailand bagi 2025 untuk kategori antarabangsa.

Lebih manis, kejayaan ini turut disusuli dengan Anugerah ‘Best March’ dan Konduktor Cemerlang.

Ia membuktikan bakat muda dalam pembabitan seni orkestra bukan hanya di peringkat nasional, malah antarabangsa.

ASWO ialah pasukan orkestra yang dianggotai 57 pelajar berusia 13 tahun sehingga 16 tahun dari Sekolah Sultan Alam Shah (SAS), Kuala Lumpur.

Menurut pemain perkusi ASWO, Muhammad Zeidane Zulhaidi, pencapaian membanggakan buat pasukan berkenaan ialah apabila dapat memainkan lagu Negaraku di bumi Thailand.

“Satu penghormatan apabila tuan rumah memberi laluan kepada ASWO memainkan lagu Negaraku. Seolah-olah kami dalam temasya sukan dunia yang mana lagu Kebangsaan ‘pemenang’ kejohanan berkumandang sebagai penghormatan.

“Tentu sahaja selaku wakil yang yang berjaya mengharumkan nama negara dalam The 6th North Eastern Winds International Festival, kami berasa misi tercapai dan berharap lebih ramai akan memandang keupayaan kami sebagai pemuzik muda,” katanya.

Selain lagu Negaraku, pasukannya turut bertanggungjawab mendendangkan dua lagu klasik untuk menghiburkan pendengar di dewan persembahan terbabit.

“Kami juga mempersembahkan dua lagi karya hebat iaitu ‘March No.3 Themes from Lanna’ dan ‘Amelia’, ‘Flight Eternal’, yang memiliki penceritaan tersendiri. “Sebagai pasukan yang terdiri daripada divisyen atau instrumen berlainan, kami bukan hanya perlu memastikan penyampaian lagu sempurna daripada segi teknikal, malah penceritaan melodi melekap dijiwa.

“Dalam orkestra ini, kerjasama pasukan dan saling percaya antara satu sama lain adalah sangat penting selain daripada latihan yang konsisten.

“Alhamdulillah, kami berjaya menyampaikannya dengan baik,” katanya.

Bagi Rafa Zulkarnain, kejayaan ASWO adalah hasil daripada kerja keras, bukan hanya pemain orkestra tetapi juga jurulatih, guru, warga sekolah selain ibu bapa yang banyak menyuntik semangat.

Tanpa jurulatih dan guru-guru yang hebat, sudah pasti kejayaan ini tidak dapat dikecapi.

“Kami bertuah kerana mendapat suntikan ilmu orkestra daripada tenaga pengajar profesional antarabangsa iaitu Muhammad Asyahari Hussaini dan pasukan beliau.

“Tidak lupa juga sokongan dan restu yang kami terima daripada ibu bapa yang setia memberi sokongan sepanjang pembabitan kami dalam orkestra.

“Tanpa sokongan ibu bapa, sukar buat kami melangkah lebih jauh untuk memenuhi tuntutan pertandingan luar yang memerlukan belanja besar,” katanya yang juga pengendali instrumen ‘French Horn’ iaitu antara instrumen paling sukar dalam divisyen orkestra.

Selain Rafa, pemain seruling ASWO, Izz Ammar Daniel Mohd Izham pula menuai pujian juri dari Thailand menerusi persembahan solo yang cukup memukau.

Presiden Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB) ASWO, Sariza Yahaya menyifatkan pembabitan anak dalam pasukan orkestra memberi impak positif selain tidak menitik beratkan pada aspek pencapaian akademik semata-mata.

“Ibu bapa sangat menyokong kuat dan komited untuk membantu pasukan serta guru-guru yang membimbing ASWO, kerana kami percaya, kecerdasan muzikal ini turut mencetus elemen positif.

“Contoh, aspek disiplin dan penguasaan kemahiran tertentu ketika mempelajari instrumen muzik. Ia antara yang paling ketara.

“Sebagai ibu bapa yang terbabit secara langsung, kami melihat bahawa penyertaan anak-anak kami dalam ASWO turut membolehkan mereka menyumbang kepada melakar nama Malaysia di peta antarabangsa,” katanya.

Persembahan ASWO kali ini turut disertai wakil Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Malaysia iaitu Orkestra Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim, Jitra, Kedah.

Sementara itu, Pengetua SAS Nor Azam Abdullah menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian ASWO yang bukan sekadar cemerlang dalam bidang muzik, malah turut cemerlang dalam akademik.

“ASWO bukan sahaja cemerlang dalam bidang muzik tetapi mereka perlu membawa kecemerlangan itu dalam bidang akademi dan sahsiah diri. Mereka ini contoh kepada pelajar SAS lain.

“Pihak sekolah berharap, pelajar dapat mengekalkan momentum cemerlang ini sehingga tamat persekolahan, seterusnya menjadi contoh kepada masyarakat.

“Kini, ASWO giat membuat persiapan bagi pertandingan di ‘World Music Contest Kerkrade’ yang akan berlangsung di Belanda, Julai 2026,” katanya.

Pihaknya turut berharap orang ramai dapat memberi sokongan dan mendoakan kejayaan pelajar berkenaan untuk mengharungi sesi latihan, pada masa sama, perlu memberi tumpuan kepada akademik.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top