Melaka: Setelah empat kali gagal ujian berkomputer lesen memandu, seorang pengawal keselamatan dari Kampung Rembia di sini bersyukur apabila penantiannya selama lebih tiga dekad untuk memiliki lesen memandu motosikal B2 akhirnya tercapai.
Menerusi Program Bantuan MyLesen Motosikal Kelas B2, Osman Baba, 55, kini tidak perlu bimbang lagi disaman polis atau Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terutama setiap kali berulang alik ke tempat kerjanya di Bukit Katil.
Osman berkata kegagalannya setiap kali menduduki ujian Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP) adalah kerana dia tidak pandai membaca tetapi di bawah program Program Bantuan MyLesen, kelonggaran diberikan dengan digantikan ujian lain yang memudahkannya mendapatkan lesen motosikal.
“Saya menunggang motosikal sejak usia 18 tahun tetapi asyik gagal setiap kali ambil ujian.
“Sepanjang berulang-alik ke tempat kerja sudah banyak kali saya ditahan dan terpaksa akur jika disaman kerana memang kesalahan saya bawa motosikal tanpa lesen,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Lesen Memandu Sempena Program Bantuan MyLesen Motosikal Kelas B2 anjuran JPJ Melaka di sini hari ini.
Majlis itu dihadiri Pengarah JPJ negeri Muhammad Firdaus Shariff dan Timbalan Pengarah Bahagian Pelesenan Pemandu Ibu Pejabat JPJ Izawati Zai.
Osman berkata permohonan mendapatkan lesen di bawah program itu dibuat menerusi kelolaan Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Rembia dan dia bersyukur proses berkenaan berjalan lancar.
Sementara itu seorang lagi peserta Ashah Jegap, 38, berkata lesen motosikal yang diperoleh memudahkannya menghantar dan menjemput anak-anak dari sekolah ketika suaminya bekerja.
Ibu empat anak dari Kampung Orang Asli Bukit Payong, Alor Gajah itu berkata sebelum ini dia sering menunggang motosikal dalam keadaan bimbang ditahan pihak berkuasa kerana tiada lesen tetapi kini boleh menarik nafas lega dan bebas bergerak lebih jauh sekiranya perlu.
“Saya bersyukur kerana diberi peluang mendapatkan lesen di bawah program MyLesen yang bukan sahaja percuma tetapi juga memudahkan proses menduduki ujian bertulis.
“Terima kasih kepada kerajaan kerana tidak meminggirkan masyarakat Orang Asli mendapatkan lesen dan saya dimaklumkan ada 69 Orang Asli diberi peluang sertai program ini,” katanya yang menunggang motosikal sejak usia remaja.
Program Bantuan MyLesen Motosikal Kelas B2 di Melaka melibatkan 2,500 penerima termasuk 136 yang berusia 51 tahun ke atas.
© New Straits Times Press (M) Bhd




