Osteoporosis: Mengapa Rakyat Malaysia Perlu Memandang Serius Terhadap Ancaman Senyap Ini

Petaling Jaya: Satu regangan ringan dan tergelincir sedikit, tetapi tiba-tiba, tulang patah. Sering digelar “penyakit senyap”, osteoporosis tanpa disedari melemahkan tulang dari semasa ke semasa. Ia tidak menunjukkan sebarang tanda sehinggalah berlaku kepatahan, selalunya akibat terjatuh yang kelihatan seperti tidak berbahaya.

“Osteoporosis tidak menyebabkan rasa sakit atau tanda amaran yang ketara sehingga terlambat. Kebanyakan pesakit didiagnosis hanya selepas mengalami kepatahan ‘fragiliti’ (fragility fracture), kepatahan yang disebabkan oleh kejatuhan atau impak kecil yang biasanya tidak akan mencederakan tulang sihat. Ketika itu, penyakit tersebut sudah pun menyebabkan kerosakan,” jelas Dr Edward Chong Kah Chun, Pakar Perunding Geriatrik di Pusat Bandar Sunway, Bandar Sunway (SMC).

Kejatuhan Kecil, Akibatnya Serius

Menurut Dr Edward, kepatahan yang paling lazim berkaitan osteoporosis atau kepatahan “fragiliti” berlaku pada pinggul, tulang belakang, dan pergelangan tangan, di mana setiap satunya mempunyai kesan yang serius.

“Kepatahan pinggul adalah yang paling teruk kerana ia sering menyebabkan ketidakupayaan bergerak yang berpanjangan,” jelas beliau. “Berdasarkan data global, satu daripada empat pesakit berisiko meninggal dunia dalam tempoh setahun selepas kepatahan pinggul akibat komplikasi.”

Kepatahan tulang belakang pula boleh menyebabkan sakit belakang yang berterusan dan kerengsaan saraf. Ia kadangkala berlaku akibat pergerakan yang sangat ringan seperti duduk terlalu cepat. Walaupun kurang mengancam nyawa, kepatahan pergelangan tangan boleh menyukarkan tugas harian seperti berjalan, berpakaian, atau mandi, terutamanya jika tangan dominan yang terjejas.

Selain kesakitan fizikal, osteoporosis juga boleh memberi kesan emosi. “Ramai pesakit mengalami ‘ketakutan jatuh’ (fear of falling). Mereka hilang keyakinan untuk berjalan atau keluar rumah, yang membawa kepada kelemahan otot dan pengasingan diri. Ianya memudaratkan kerana semakin kurang mereka bergerak, semakin lemah keadaan mereka,” kata Dr Edward.

Mengapa Rakyat Malaysia Berisiko

Osteoporosis semakin meningkat di Malaysia, disebabkan oleh perubahan diet dan gaya hidup. “Diet tempatan kita beraneka jenis dan enak, tetapi tidak sentiasa seimbang,” kata Dr Edward. “Ramai tidak mengambil makanan dengan kalsium yang mencukupi seperti susu, keju, yogurt, tauhu, atau sayur-sayuran. Kekurangan Vitamin D juga lazim kerana kita mengelak daripada cahaya matahari meskipun Malaysia beriklim tropika.”

Kurang pendedahan kepada cahaya matahari bermaksud kurangnya Vitamin D yang penting untuk penyerapan kalsium. Makanan seperti salmon, tuna, ikan bilis, dan cendawan boleh membantu, tetapi cahaya matahari di waktu pagi kekal sebagai sumber semula jadi Vitamin D yang terbaik.

Wanita menghadapi risiko yang lebih tinggi selepas menopaus apabila paras estrogen menurun. “Bagaimanapun, lelaki juga boleh menghidap osteoporosis, terutamanya jika mereka mempunyai diet yang kurang baik, merokok, atau mengambil ubat-ubatan tertentu untuk tempoh yang lama,” tambah Dr Edward.

Saringan Osteoporosis – Bila dan Bagaimana?

Dr Edward merujuk kepada Panduan Amalan Klinikal (CPG) Malaysia mengenai Pengurusan Osteoporosis 2022, yang mengesyorkan saringan dalam beberapa situasi.

“Mereka yang mengalami kepatahan trauma rendah, seperti jatuh dari ketinggian berdiri, harus disaring dengan serta-merta. Saringan juga dinasihatkan untuk wanita berumur 50 tahun ke atas dan lelaki berumur 70 tahun ke atas, walaupun mereka kelihatan sihat,” kata beliau.

Ujian standard ialah imbasan DEXA (dual-energy X-ray absorptiometry), iaitu ujian ringkas dan tidak invasif yang mengukur ketumpatan mineral tulang. “Ujian ini terdapat di kebanyakan hospital dan beberapa klinik pakar. Kami menggalakkan penilaian awal kerana ia membolehkan tindakan diambil sebelum kepatahan serius berlaku, meningkatkan keselamatan pesakit, kualiti penjagaan, dan pemulihan jangka panjang,” kata Dr Edward.

Pilihan Harian Kuatkan Tulang 

Rawatan untuk osteoporosis biasanya menggabungkan pelarasan gaya hidup dengan ubat-ubatan.

“Nutrisi adalah asasnya. Kami menggalakkan pesakit mengambil kira-kira 1,000mg kalsium dan 800 IU vitamin D setiap hari. Jika diet sahaja tidak mencukupi, suplemen boleh dipreskripsikan,” jelas Dr Edward.

Aktiviti fizikal yang kerap juga sama penting. “Untuk merangsang pertumbuhan tulang, kita perlu melakukan senaman yang kerap seperti senaman angkat berat, berjalan, berjoging, dan senaman daya tahan yang ringan. Tai Chi adalah pilihan lain yang baik kerana ia membantu meningkatkan keseimbangan dan mencegah kejatuhan,” tambah Dr Edward.

Bagi pesakit yang mengalami tulang rapuh yang teruk, ubat oral sering diambil untuk menguatkan tulang. Untuk kes yang lebih teruk, tedapat rawatan suntikan atau infusi yang boleh diberikan secara bulanan atau tahunan bergantung kepada keadaan pesakit. “Terapi ini sangat berkesan apabila digabungkan dengan pemeriksaan susulan dan amalan gaya hidup yang sihat,” kata Dr Edward.

Pencegahan bermula di rumah

“Ahli keluarga memainkan peranan penting untuk keselamatan pesakit. Perubahan ringkas seperti membuang permaidani yang licin, mempertingkatkan pencahayaan, dan memasang palang pemegang di bilik mandi boleh memberi perbezaan yang ketara,” kata Dr Edward.

Beliau juga menggalakkan ahli keluarga untuk memastikan orang tersayang kekal aktif. “Jangan halang mereka daripada bergerak kerana anda takut mereka akan jatuh. Sebaliknya, berjalanlah bersama mereka, sediakan mereka makanan berkhasiat, dan temani mereka ke janji temu perubatan. Tujuannya untuk memperkasa, bukan menyekat.”

Mari Mencegah

Bagi Dr Edward, kesedaran awam adalah amat penting. “Pencegahan osteoporosis bermula diusia muda dengan nutrisi yang baik, pendedahan pada cahaya matahari, dan pergerakan. Tulang yang kuat dibina sepanjang hayat.”

Inisiatif komuniti seperti sesi senaman berkumpulan, kelab berjalan kaki, atau bengkel nutrisi boleh mendatangkan manfaat yang besar. “Mulakan penjagaan tulang anda sejak awal usia. Apabila usia kita meningkat, mengekalkan kebebasan dan mobiliti adalah segala-galanya, dan tulang yang kuat merupakan asas bagi tujuan ini. Jangan tunggu sehingga jatuh baru hargai tulang yang anda miliki,” kata Dr Edward.

Jurucakap: Dr Edward Chong Kah Chun, Pakar Perunding Geriatrik di Pusat Bandar Sunway, Bandar Sunway (SMC)

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Scroll to Top