hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Sejak muda hingga berusia emas arwah ayah memang sangat meminati dunia pemotoran dan motosikal Yamaha RD 250 yang dibeli sejak 42 tahun lalu menjadi jentera terakhir miliknya,” kata Mohd Rizan Kamarudin.
Mohd Rizan, 49, adalah anak ketiga Allahyarham Kamarudin Wahid, 80, atau lebih dikenali sebagai Cik Din YP, ‘otai’ pemotoran yang meninggal dunia akibat pendarahan dalam otak di rumahnya di Kampung Pasir Baru, di sini, 6 pagi, hari ini.
Mohd Rizan berkata, bapanya menghidap angin ahmar di bahagian kiri badan sejak lebih dua bulan lalu selepas terjatuh di belakang rumahnya, seminggu sebelum Aidilfitri lalu.
“Selepas dua bulan berada di hospital arwah ayah pulang ke rumah sejak dua minggu lalu sebelum menghembuskan nafas terakhirnya di rumah, subuh tadi,” katanya kepada Harian Metro, di sini, hari ini.
Katanya, bapanya dikenali sebagai seorang yang aktif dalam larian maraton dan pencinta dunia pemotoran sejak bujang dengan motosikal pertama dibelinya adalah vespa pada 1960-an.
“Walaupun sudah berkahwin arwah ayah masih meneruskan minat dalam dunia pemotoran. Ayah pernah membeli dan memiliki Yamaha RXS dan Kawasaki ZZR 205 pada 1990-an.
“Selepas ayah bersara daripada kerja pada usia 50-an, arwah beli Yamaha RD 250 pada 1983 dan ia menjadi motosikal terakhirnya yang digunakan sehingga kini,” katanya.
Mohd Rizan berkata, selain aktif menunggang motosikal di Semenanjung, allahyarham Kamarudin juga pernah menunggang motosikal ke Thailand dan turut menyampaikan sumbangan hasil kutipan dana daripada kenalan dan orang ramai untuk disalurkan kepada rumah anak yatim di negara jiran berkenaan.
“Ayah menjaga motosikalnya dengan baik dan ke mana-mana saja dia akan menunggang motosikal kesayangannya itu termasuk kalau kami pulang ke kampung, ayah akan ikut kereta kami dengan tunggang motosikal. Ayah naik kereta boleh kira beberapa kali saja.
“Kali terakhir ayah tunggang motosikal kesayangannya itu pada Oktober tahun lalu. Di usia 79 tahun arwah tunggang motosikal pergi Terengganu, Kedah dan Kelantan. Selepas itu ayah hanya tunggang motosikal di kawasan kampung saja,” katanya.
Jenazah Kamarudin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Muhibbah, Bukit Jalil di sini, 11 pagi tadi.
© New Straits Times Press (M) Bhd