Zurich: Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengubah peraturan disiplin Piala Dunia 2026 bagi memastikan penggantungan kecil yang diterima ketika aksi kelayakan tidak lagi dibawa ke pusingan akhir.
Keputusan itu sekali gus membolehkan pertahanan Argentina, Nicolas Otamendi dan pemain tengah Ecuador, Moises Caicedo beraksi dalam perlawanan pembukaan pasukan masing-masing.
FIFA berkata, langkah itu bertujuan memastikan setiap negara dapat menurunkan skuad terkuat di pentas terbesar bola sepak dunia selain mengekalkan keadilan disiplin dan integriti kejohanan.
Selepas perbincangan bersama konfederasi, Biro Majlis FIFA sebulat suara bersetuju meminda Artikel 10 Perenggan 2 dalam peraturan Piala Dunia 2026.
Melalui pindaan itu, kad kuning tunggal dan penggantungan satu atau dua perlawanan akibat pengumpulan kad dalam aksi kelayakan tidak akan dibawa ke pusingan akhir.
Namun FIFA menjelaskan penggantungan lain akibat kad merah serius masih kekal dibawa ke kejohanan utama.
Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA) sebelum ini mengesahkan mereka sudah berunding dengan FIFA bagi membolehkan Otamendi beraksi selepas dia dibuang padang ketika aksi kelayakan menentang Ecuador pada September lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




