Kuala Lumpur: Kadar prestasi tepat masa (OTP) bagi syarikat penerbangan nasional Malaysia Airlines Bhd (MAB) telah meningkat lebih 80 peratus pada Oktober 2024, menurut Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah.
Beliau berkata, peningkatan tersebut susulan pengumuman MAB untuk mengurangkan rangkaian penerbangannya pada hujung Ogos lalu.
“Sejak pengumuman MAB untuk mengurangkan rangkaian penerbangan mereka pada hujung Ogos lalu, tindakan yang diambil itu menunjukkan hasil positif terhadap OTP mereka.
“OTP MAB meningkat daripada 58.2 peratus pada Ogos 2024 kepada lebih 80 peratus pada Oktober 2024,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, semalam.
Beliau menjawab soalan RSN Rayer (PH-Jelutong) berkenaan langkah-langkah yang diambil MOT bagi mengatasi semua masalah yang dihadapi MAB sejak kebelakangan ini.
Hasbi turut berkata, MAB juga melaksanakan proses perolehan pesawat baharu sebagai salah satu strategi meningkatkan keyakinan penumpang.
“Langkah tersebut akan memastikan ketersediaan pesawat yang mencukupi untuk memenuhi keperluan penerbangan yang dijadualkan,” kata beliau.
Sementara itu beliau berkata, syarikat penerbangan itu telah menyediakan pelan mitigasi bagi mengenal pasti tindakan penambahbaikan terhadap hasil siasatan mengejut Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
“Pelan tersebut adalah untuk meningkatkan tahap keselamatan pesawat ke tahap waspada bagi membolehkan fokus diberikan terhadap kebolehpercayaan pesawat,” katanya.
CAAM telah menjalankan siasatan dan audit mengejut ke atas MAB termasuk syarikat MAB Engineering Services (MABES) yang bertanggungjawab terhadap penyelenggaraan pesawat MAB pada 24 hingga 28 Jun 2024.
© New Straits Times Press (M) Bhd




