Ott kembali semula bersama TFC buat kali ketiga

Ott kembali semula bersama TFC buat kali ketiga

sukan@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Selepas semusim meninggalkan Terengganu FC (TFC), bekas pemain import, Manuel Ott kembali memperkuatkan skuad itu dalam mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2026/2027.

Kehadiran semula ‘arkitek’ kelahiran Munich, Jerman berusia 34 tahun itu adalah kali ketiga buat skuad Penyu selepas kali pertama pada 2022.

Ketua Pegawai Operasi Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Mohd Syahrizan Mohd Zain berkata, kepulangan pemain kuota Asean itu pastinya mampu menambah sengat di jentera tengah skuad kendalian Nafuzi Zain itu.

Jelasnya, pemain berdarah kacukan Jerman-Filipina itu ‘dirantai’ selama semusim bermula Julai hingga Mei 2027.

“TFC Sdn Bhd dengan sukacitanya mengumumkan kepulangan semula pemain Manuel Ott bagi memperkuatkan skuad kendalian Nafuzi menjelang saingan Liga M pada musim baharu nanti.

“Pemain tengah dan tonggak skuad kebangsaan Filipina yang sebelum ini beraksi bersama kelab Rayong FC dalam Liga Thailand diyakini mampu menggalas tugas lebih mencabar pada musim ini.

“Pada masa sama kepulangannya diyakini mampu menambah kekuatan pasukan menerusi pengalaman, kualiti teknikal serta kepimpinan dimiliki,” ujarnya.

Ott pernah beraksi bersama TFC selama semusim pada 2022 sebelum berhijrah bersama Kedah setahun kemudian bersama Nafuzi sebelum kembali bersama TFC pada pertengahan musim 2024.

Sepanjang 30 perlawanan bersama kelab Rayong FC, pemain yang pernah menyarung jersi Melaka United itu meledak satu jaringan dan satu bantuan jaringan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top