redzuan.muharam@hmetro.com.my
Batu Caves: “Oyen selalu teman emak waktu arwah (emak) masih ada dulu dan seakan faham emak sudah tiada waktu bawanya ke tanah perkuburan baru-baru ini.”
Itu kata Fazlina Abd Muen, 30, dari Taman Koperasi Polis Fasa 2, di sini yang mendapat perhatian warganet selepas berkongsi gambarnya menemani menemani bapa, Abd Muen Abu Ishak, 77, menziarahi pusara Allahyarham ibu, Mai Taksiah Baai dengan membawa bersama kucing kesayangannya, Oyen.
Menurut Fazlina, dia tidak sangka perkongsiannya di Threads itu akan tular kerana sekadar berkongsi gambar kenangan Oyen yang kali pertama dibawa menziarahi pusara ibunya.
“Saya dan abah bawa Oyen ziarah kubur emak kelmarin…saya tak keluarkan Oyen sebaliknya letak ia dalam beg khas.
“Ikutkan abah tak bagi Oyen ikut kerana macam tak sesuai tapi saya bawa juga sebab kasihan jika tinggalkannya di rumah. Waktu di tanah perkuburan, Oyen tak meragam malah tak dengar bunyi Oyen mengiau pun.
“Saya rakam gambar dan video pun untuk kenangan kali pertama bawa Oyen ke kubur emak tapi tak sangka dapat perhatian…sempat juga baca sebahagian komen, rata-rata kata Oyen seperti faham perasaan saya dengan ayah yang kehilangan emak,” katanya kepada Harian Metro.
Bercerita lanjut, Fazlina berkata, Allahyarham ibunya memang ada darah tinggi sebelum ini namun tidak menunjukkan masalah kesihatan serius dan meninggal dunia secara mengejut pada 25 Oktober lalu.
Meskipun sedih, Fazlina reda dengan ketentuan Ilahi cuma sedar bukan hanya dia dan keluarga malah Oyen turut terkesan kerana kehilangan ibunya yang menjadi tempat bermanja.
“Ikutkan, saya sudah pelihara Oyen sejak empat tahun lalu dan ia hadiah pemberian abang untuk hiburkan saya yang tinggal dengan emak juga abah.
“Dulu, Oyen yang kerap teman emak berehat di dalam bilik kalau saya tiada di rumah.
“Emak paling risau kalau Oyen terlepas keluar kerana takut Oyen hilang walaupun saya memang selalu lepaskannya…tapi sekarang semua tinggal kenangan kerana emak sudah tiada,” katanya.
Fazlina berkata, sejak pemergian ibunya, Oyen banyak mengekorinya di rumah kerana kucing kesayangannya itu memang manja.
“Walaupun kucing jantan, Oyen sangat manja dan jadi penghibur kami sekeluarga yang suka tengok keletahnya.
“Sejak emak tiada, nampak Oyen suka ‘berkepit’ dengan saya tapi tak ganggu walaupun saya tengah masak atau siapkan tempahan tauhu begedil pelanggan di dapur.
“Bila tengok Oyen, saya sebak juga kerana teringat emak yang sangat sayangkannya. Saya dan abah paling terkesan sejak emak tiada kerana tinggal dengan arwah namun kesedihan hilang seketika bila bermain dengan Oyen,” katanya yang juga anak bongsu daripada lapan beradik.
© New Straits Times Press (M) Bhd




