P Radhi 'kembali' gamit nostalgia raya

P Radhi 'kembali' gamit nostalgia raya

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Persis Allahyarham Tan Sri P Ramlee tapi bukan. Itu antara reaksi rata-rata warganet selepas mendengar nyanyian Muhammad Radhi Ab Rahmad atau lebih dikenali sebagai P Radhi yang kedengaran seakan suara Seniman Agung Negara itu.

P Radhi, 35, tampil dengan lagu raya terbaharu berjudul Raya Bersama dan kali ini dia tidak sekadar menyanyi namun membawa pendengar menyelusuri nostalgia Aidilfitri zaman dahulu dengan lenggok suara klasik.

Lebih menarik, lagu ciptaan Mohd Firdaus Rashid atau nama panggilan Kupitfir itu diterbitkan ketika lambakan lagu raya baharu membanjiri pasaran.

Bagaimanapun P Radhi yakin karya terbarunya itu ada keistimewaan dan jiwa tersendiri.

“Lagu ini dirakam pada awal Ramadan, muzik videonya pula baru dilancarkan lima hari lalu tapi sudah mendapat perhatian terutamanya dalam kalangan peminat muzik klasik Melayu.

“Bagi saya, lagu ini ada rasa… bukan sekadar lagu raya biasa. Itu yang buat saya yakin untuk merakamkannya.

“Setakat ini, banyak juga maklum balas positif diterima terhadap lagu itu walaupun baru beberapa hari dilancarkan,” katanya kepada Harian Metro.

Di sebalik pujian, P Radhi sedar akan perbandingan yang tidak dapat dielakkan dengan P Ramlee.

“Saya terbuka… ada yang suka, ada yang tidak kerana penerimaan setiap orang berbeza.

“Bagi saya, itu lumrah tapi sudah tentu saya berharap ramai sukakannya kerana lagu itu menyuntik elemen nostalgia,” katanya.

Sementara itu, komposer dan penulis lirik, Firdaus Rashid berkata, lagu itu dihasilkan khas untuk P Radhi dengan fokus utamanya adalah mengangkat nilai kekeluargaan, perasaan dan hubungan yang semakin pudar.

“Saya nak orang rasa rindu suasana kampung dan duduk beraya bersama keluarga dalam suasana penuh harmoni dan kegembiraan.

“Elemen nostalgia yang kuat dan sentuhan klasik yang semakin jarang didengar menjadikan Raya Bersama antara lagu yang berpotensi mencuri hati pendengar,” katanya.

Harian Metro pernah melaporkan kisah P Radhi yang mula dikenali selepas video nyanyiannya tular di TikTok dengan lagu Tiara.

Keunikan P Radhi adalah memiliki suara yang seakan P Ramlee hingga memperkenalkan namanya dalam industri seni suara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top