Pacquiao tuntut perlawanan ulangan

Pacquiao tuntut perlawanan ulangan
Aksi Pacquiao semasa pertarungan di MGM Grand Arena,Las Vegas, AS.Foto: Agensi

Aksi Pacquiao semasa pertarungan di MGM Grand Arena,Las Vegas, AS.Foto: Agensi

LEGENDA tinju Filipina, Manny Pacquiao menyuarakan hasratnya untuk mengadakan pertarungan ulangan menentang juara welterweight WBC, Mario Barrios selepas pertemuan sulung mereka berakhir dengan keputusan seri majoriti di MGM Grand Arena,Las Vegas, Amerika Syarikat (AS).

Dalam aksi penuh mendebarkan itu, Pacquiao, 46, yang kembali ke gelanggang selepas empat tahun bersara mempamerkan semangat juang luar biasa menentang Barrios, 30.

Namun Pacquiao gagal meraih kejuaraan selepas dua juri memberikan keputusan 114-114, manakala seorang lagi berpihak kepada Barrios dengan mata 115-113.

Meskipun mendahului kiraan mata sehingga pusingan ke-10, Pacquiao mula kehilangan momentum pada tiga pusingan terakhir menyebabkan keputusan seri diumumkan secara rasmi.

“Saya rasa saya memenangi pertarungan ini. Ia pertarungan yang sangat sengit.

“Lawan saya seorang yang cukup kuat. Saya bersyukur kerana dapat kembali dan memberikan aksi yang menghiburkan,” ujar Pacquiao dalam sidang media selepas perlawanan.

Ketika ditanya sama ada beliau bersedia untuk aksi semula menentang Barrios, Pacquiao tanpa ragu menjawab: “Sudah tentu.”

Sebagai rekod, Pacquiao pernah menjadi juara dunia 12 kali dalam lapan divisyen berbeza.

Dia juga mencipta sejarah sebagai petinju tertua yang memenangi kejuaraan welterweight ketika menewaskan Keith Thurman pada usia 40 tahun, pada tahun 2019.

Kini, beliau turut mencipta satu lagi rekod baharu apabila menjadi ahli pertama dalam Dewan Kemasyhuran Tinju Antarabangsa (IBHOF) yang kembali bertarung dalam perebutan kejuaraan dunia selepas dilantik secara rasmi ke dalam pertubuhan berprestij itu pada Jun 2025.

Scroll to Top