Padah cuba 'suap' RM220 untuk lepaskan diri, dua warga asing dicekup

Padah cuba 'suap' RM220 untuk lepaskan diri, dua warga asing dicekup

am@hmetro.com.my

Tumpat: Cubaan dua lelaki warga asing memberi suapan kepada pihak berkuasa tidak berjaya apabila mereka ditahan di Jalan Dato’ Keramat, di sini.

Lelaki warga Bangladesh serta Myanmar yang berusia 20 dan 30 tahun itu cuba merasuah sepasukan anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat dengan sejumlah wang atas kesalahan dokumentasi dan tiada dokumen perjalanan diri yang sah.

Ketua Polis Daerah Tumpat Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie berkata, ketika menjalankan penugasan 6.10 petang semalam, pasukannya ternampak kedua-dua suspek itu dalam keadaan mencurigakan.

“Ketika ditahan, anggota kami memperkenalkan diri sebagai pegawai polis secara lisan namun secara tiba-tiba kedua-dua lelaki itu bertindak melarikan diri tetapi berjaya ditangkap.

“Mereka diminta mengemukakan pengenalan diri dan pemeriksaan dokumen mendapati kedua-duanya adalah warga Bangladesh serta Myanmar.

“Ketika membuat pemeriksaan, seorang daripada suspek cuba memberi suapan sejumlah wang tunai dan pengadu memberi amaran sebanyak tiga kali supaya menghentikan perbuatan itu,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Mohd Khairi berkata, suspek bagaimanapun tidak menghiraukan amaran dan tetap menghulurkan RM220 bagi melepaskan diri atas kesalahan tinggal lebih masa dan pasport tamat tempoh, manakala seorang lagi suspek disyaki tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan diri yang sah.

“Rampasan dibuat membabitkan wang tunai bernilai RM220 serta dua dokumen Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang meragukan.

“Kedua-dua suspek dibawa ke Balai Polis Tumpat dan kes ini sudah dirujuk serta diserahkan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kota Bharu untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top