Barcelona: Pertahanan Getafe, Abdel Abqar dikenakan penggantungan dua perlawanan selepas dilayangkan kad merah kerana mencubit bahagian sulit pemain Atletico Madrid, Alexander Sorloth.
Insiden itu berlaku ketika kekalahan 0-1 Getafe dalam aksi La Liga, Sabtu lalu.
Menurut laporan pengadil, Isidro Diaz de Mera, kad merah diberikan selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mengesahkan tindakan Abqar ‘mencubit bahagian kemaluan” lawan.
Walaupun pemain antarabangsa Maghribi itu menafikan niat untuk melakukan perbuatan berkenaan, Jawatankuasa Disiplin Persekutuan Bola Sepak Sepanyol tetap mengekalkan hukuman.
“Rakaman perlawanan selari dengan laporan pengadil,” menurut kenyataan rasmi badan itu.
Abqar kini akan terlepas dua aksi liga menentang Espanyol dan Athletic Bilbao.
© New Straits Times Press (M) Bhd




