Padah hantar 'jenaka' bom

Padah hantar 'jenaka' bom

Houston: Seorang pelajar sekolah menengah di Amerika Syarikat (AS) mengaku menghantar ancaman bom palsu melalui AirDrop.

Tindakannya itu mengakibatkan pesawat 2051 American Airlines dinaiki 125 penumpang serta lapan anak kapal yang dalam perjalanan menuju ke Chicago, terpaksa dilencongkan dari landasan di lapangan terbang Texas minggu lalu, lapor pihak berkuasa.

Jabatan Keselamatan Awam Texas berkata, penumpang menerima kiriman mesej pada peranti Apple mereka melalui AirDrop ketika menaiki penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa El Paso, Jumaat lalu.

“Saya ada bom dan ingin berkongsi gambar,” katanya.

Agensi itu dalam kenyataan pada Isnin berkata, berikutan mesej berkenaan, pesawat itu berpatah balik.

Jabatan Keselamatan Awam berkata, hasil siasatan, suspek yang juga remaja terbabit mengaku menghantar gambar menerusi AirDrop.

Menurut agensi itu, bukti yang menyokong pengakuan itu ditemukan pada telefon bimbit milik suspek.

Pemeriksaan skuad bom pesawat, penumpang dan bagasi tidak menemui sebarang bahan letupan dan ancaman itu dianggap tidak boleh dipercayai.

Jabatan Keselamatan Awam berkata, peguam daerah El Paso bersetuju untuk mendakwa remaja itu.

Sebuah sekolah menengah di Pittsburgh mengesahkan bahawa remaja itu adalah pelajar yang pulang dari perjalanan misi tajaan sekolah berhampiran sempadan Texas-Mexico.

Jurucakap sekolah Brian Cook memberitahu stesen televisyen WTAE di Pittsburgh bahawa mesej pelajar itu dihantar dengan tujuan jenaka.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top