am@hmetro.com.my
Batu Pahat: Padah memandu dalam keadaan mabuk, seorang pemandu lori dipenjara sehari dan denda RM10,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Majistret Nurasidah A Rahman menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Tay Lee Wee, 42, selepas mengambil kira pengakuan dibuat, rayuan dikemukakan serta hujahan pihak pendakwaan.
Mahkamah juga memerintahkan tertuduh yang masih bujang dikenakan penjara 10 bulan jika gagal membayarnya. Tertuduh kemudian membayar denda itu.
Selain itu, mahkamah turut memerintahkan lesen memandu tertuduh digantung selama dua tahun bermula hari sabitan, hari ini.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memandu kereta dalam keadaan mabuk dengan kandungan alkohol dalam darah sebanyak 71 mg/100ml melebihi had ditetapkan 50 mg/100ml.
Perbuatan itu dilakukan di Jalan Kapur, Taman Batu Pahat di sini, 2.45 pagi, 13 Disember lalu dan didakwa mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (pindaan 2020).
Seksyen 45A (1) memperuntukkan hukuman denda maksimum sehingga RM30,000 dan penjara sehingga dua tahun serta hilang kelayakan lesen memandu.
Berdasarkan fakta kes, polis daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Batu Pahat menjalankan Op Mabuk di sekitar bandar ini bagi mengesan pemandu memandu di bawah pengaruh alkohol.
Tidak lama selepas itu, polis ternampak kereta dipandu tertuduh dalam keadaan mencurigakan lalu menahannya.
Hasil saringan ujian nafas menggunakan peralatan SD2+ dan EBA II, mendapati tertuduh positif alkohol dan ditahan manakala kenderaan yang dipandu turut dirampas bagi tujuan siasatan lanjut.
Tertuduh kemudiannya dibawa ke Balai Polis Batu Pahat untuk tindakan selanjutnya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip manakala tertuduh diwakili peguam Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
© New Straits Times Press (M) Bhd


