am@hmetro.com.my
Port Dickson: Lelaki maut apabila kereta dipandu gagal memotong di garisan berkembar lalu bertembung dengan treler sarat muatan gas, di Kilometer 13, Jalan Lukut – Sepang, hari ini.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Maslan Udin berkata, kejadian berlaku jam 3.30 petang membabitkan dua kereta jenis Proton Saga dan Wira serta sebuah treler.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu Proton Wira berusia 51 tahun cuba memotong sebuah lagi kenderaan lain di garisan berkembar.
“Bagaimanapun, tindakan itu gagal menyebabkan kereta dipandu bertembung dengan sebuah treler dari arah bertentangan,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Katanya, sebelum itu treler berkenaan cuba mengelak ke bahu jalan namun pelanggaran tetap berlaku.
“Akibatnya treler terbalik dan muatan tong gas yang di bawanya terjatuh dan mengenai kereta Proton Saga.
“Pemandu Proton Wira maut di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala dan kaki, manakala pemandu treler lelaki berusia 44 tahun cedera ringan.
“Pemandu Proton Saga juga lelaki berusia 35 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Maslan berkata, mayat di bawa ke Hospital Port Dickson untuk bedah siasat.
“Kemalangan itu menyebabkan laluan berkenaan sesak hampir tiga jam kerana muatan gas yang di bawa lori itu bertaburan atas jalan sebelum treler dan gas dapat dialihkan ke tepi jalan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd