am@hmetro.com.my
Alor Gajah: Perbuatan seorang penganggur mencemarkan kesucian Ramadan dengan memijak senaskhah al-Quran menerima padah apabila Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara sembilan bulan terhadapnya.
Majistret Dr Teoh Shu Yee menjatuhkan hukuman itu ke atas tertuduh, Amir Abdul Malik, 41, selepas mengambil kira sensitiviti agama dalam masyarakat berbilang kaum, lebih-lebih lagi kesalahan itu dilakukan dalam bulan Ramadan.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa memuat naik rakaman dirinya memijak al-Quran dengan niat menghina agama Islam pada 28 Februari 2026.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Durian Daun, Masjid Tanah.
Kes didakwa mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN), Nahra Dollah bersama Timbalan Pendakwa Raya, Wan Mohd Abdullah Wan Radzlad.
Terdahulu, pihak pendakwaan memohon hukuman setimpal dikenakan dengan menekankan kepentingan awam serta keperluan memberi pengajaran, memandangkan perbuatan itu menyentuh sensitiviti agama.
Hujah Nahra, sebagai seorang Muslim, tertuduh sepatutnya lebih peka terhadap kesucian agama sendiri, namun bertindak sebaliknya sehingga mencetuskan kemarahan.
Justeru, pihak pendakwaan mencadangkan hukuman penjara sekurang-kurangnya enam bulan.
Tertuduh yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ishak Mohd Kari memohon hukuman minimum selain memohon ia berkuat kuasa dari tarikh tangkapan pada 15 Mac lalu, dengan alasan tertuduh belum berkahwin.
Malah hujahnya lagi, tertuduh tinggal bersama ibu bapanya yang tidak lagi bekerja serta menyesali perbuatannya itu.
Namun mahkamah menegaskan kesalahan itu serius kerana membabitkan penghinaan terhadap agama.
Majistret berkata, penghinaan terhadap mana-mana agama, sama ada Islam atau bukan Islam, berpotensi membawa kerosakan yang jauh lebih besar berbanding kecederaan fizikal.
“Dalam kes ini, perbuatan tertuduh bukan sahaja menyentuh sensitiviti umat Islam, malah membabitkan maruah agama serta hak eksklusif yang dilindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan.
“Ia lebih membimbangkan apabila dilakukan dalam bulan Ramadan yang sepatutnya menggalakkan umat Islam meningkatkan keimanan melalui amalan kebaikan seperti bersedekah, bersabar dan memperbanyakkan ibadah, bukannya bertindak sebaliknya dengan memijak al-Quran,” tegasnya.
Mahkamah seterusnya memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara selama sembilan bulan bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 15 Mac lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




