am@hmetro.com.my
Segamat: Kecuaian seorang lelaki kerana tidak cakna soal ketinggian menyebabkan lori dipandunya ‘tersangkut’ di dalam sebuah terowong di Bukit Kecewa, Jalan Ibrahim, Labis, di sini, semalam.
Kejadian pada 4.28 petang itu menyebabkan lori dipandu lelaki berusia 20-an rosak teruk di bahagian atas selepas merempuh bahagian atas terowong setinggi tiga meter itu.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, sebelum kejadian, lori dipandu lelaki terbabit dari Labis dalam perjalanan ke Selangor.
Beliau berkata, sebaik tiba kejadian, pemandunya dikatakan tidak peka terhadap ketinggian hingga menyebabkan bahagian atas kenderaan itu tersangkut di dalam terowong berkenaan.
“Bagaimanapun, pemandu lori tidak mengalami kecederaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 79 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana gagal mematuhi isyarat lalu lintas.” katanya ketika dihubungi.
Difahamkan, ini adalah kejadian kedua membabitkan lori tersangkut di dalam terowong itu selepas kes pertama beberapa tahun lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd