PETALING JAYA: Padah mengugut membunuh ibu kandung kerana mahukan wang untuk membeli minuman keras, seorang penganggur dipenjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret.
Majistret Muhammad Iskandar Zainol menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Rahmat Abdullah, 44, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan itu.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 23 Mac lepas.
Lelaki itu didakwa melakukan ugutan jenayah bagi mendatangkan kegentaran terhadap warga emas P Muniamah, 73, yang juga ibu kandungnya dengan mengugut membunuh wanita itu di sebuah rumah di Jalan PJU6, Persiaran Surian, Pelangi Damansara, pada 9 malam, 21 Mac lepas.
Dia dituduh mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Zamriah Zarifah Aris memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal berbentuk pengajaran.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu hukuman ringan dengan alasan ketika kejadian dia sedang mabuk, selain menghidap penyakit usus berlubang akibat terlalu banyak meminum minuman keras.
Mengikut fakta kes, tertuduh meminta wang daripada ibunya untuk membeli minuman keras dan mengugut membunuh warga emas itu menggunakan sebilah pisau lipat.