Pendakwah bebas, Haris Ismail atau lebih dikenali sebagai PU Riz tampil memberi pandangan berhubung tindakan seorang pempengaruh yang mencacah tatu pada lengan kirinya akibat mengalami tekanan emosi atau depresi.
Menerusi satu video yang dimuat naik di Instagram( (IG) miliknya, Haris mendedahkan dia menerima kiriman video memaparkan tindakan lelaki berkenaan daripada beberapa individu.
“Baru-baru ini ada beberapa orang hantar kepada saya video seorang lelaki buat tatu kerana depresi,” katanya.
Menurutnya, setiap perbuatan dosa seharusnya tidak ditonjolkan secara terbuka kepada umum, apatah lagi jika ia boleh menimbulkan persepsi negatif.
“Pertama, Nabi SAW beritahu setiap umat aku diampun kecuali yang terang-terangan. Kalau kita buat satu dosa yang bersifat tertutup, orang mungkin tidak tahu.
“Tapi bila nampak di tangan, orang akan tanya. Jadi ada baiknya kita diamkan perkara tersebut dan padam video itu, tak perlu beri penjelasan,” ujarnya.
Tambah PU Riz, meskipun niat individu tersebut mungkin untuk memberi penjelasan kepada orang ramai, namun ia bukan alasan untuk memaparkan perbuatan berkenaan secara terbuka.
“Kita tunjuk dosa walaupun niat itu baik, tetapi itu bukan alasan untuk tayang kepada awam. Pendapat saya, padam video itu kerana tiada sebab untuk jelaskan kepada orang ramai tentang tindakan diri sendiri,” jelasnya lagi.

Dalam masa sama, suami kepada selebriti Neelofa itu turut menekankan kepentingan menjaga aspek emosi dan mental agar tidak membawa kepada tindakan yang melampaui batas.
“Kalau perasaan itu tidak diberi perhatian, ia boleh jadi lebih besar daripada itu. Bila apa yang kita rasa membuatkan kita melanggar perkara wajib, itu yang perlu dibimbangkan,” katanya.
Mengulas lanjut, Haris menegaskan individu yang melakukan kesilapan tidak seharusnya dihukum secara melulu, sebaliknya perlu dibimbing dengan cara yang betul.
“Bila orang buat silap, kita perlu jelaskan apa yang salah. Kita tak boleh terus cakap apa langkah seterusnya tanpa beri kefahaman.
“Kita perlu beri petunjuk yang jelas, beritahu mana silapnya dan apa yang perlu dilakukan seperti bertaubat,” ujarnya.
Mengakhiri perkongsian, PU Riz menyeru agar individu berkenaan kembali kepada jalan yang benar serta mendekatkan diri kepada Tuhan.
“Yang ketiga, pulanglah kepada jalan. Ingat diri kita banyak silap dan aib. Carilah Allah semula, mohon maaf kerana Tuhan tidak pernah membelakangi kita,” katanya.




