am@hmetro.com.my
Langkawi: Suasana Padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mahsuri di sini, bertukar meriah apabila kira-kira 800 tetamu menghadiri Majlis Iftar Jama’i sempena Program Kasih Ramadan, malam tadi.
Pengetua SMK Mahsuri, Arif Fadzilah Ali berkata, program tahunan itu menjadi medium terbaik untuk mengeratkan hubungan antara warga sekolah, pelajar dan ibu bapa.
Katanya, program bermula seawal 5 petang dengan penyampaian sumbangan bakul makanan kepada 126 pelajar asnaf sebelum diteruskan dengan tazkirah Ramadan bertajuk Kelebihan Malam Lailatul Qadar.
“Kemuncak kemeriahan apabila semua tetamu duduk beralaskan tikar di padang sekolah sambil berkongsi juadah yang dibawa dari rumah untuk iftar jama’i,” katanya ketika ditemui pada majlis itu.
Arif berkata, selesai berbuka puasa, tetamu kemudian menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Tarawih secara berjemaah di dewan sekolah berhampiran, sekali gus melengkapkan suasana Ramadan yang penuh kebersamaan.
Sementara itu, pelajar, Rosilawati Hamdan, 15, berkata, ini kali kedua dia dan rakan-rakannya menghadiri program iftar jama’i yang diadakan di padang sekolah.
Katanya, suasana berbuka puasa secara beramai-ramai di kawasan terbuka itu cukup meriah dan menyeronokkan kerana dapat berkumpul bersama rakan serta guru.
“Seronok dapat berbuka puasa bersama-sama di padang sekolah. Kami dapat berkongsi makanan sambil bersembang dengan rakan-rakan dan guru,” katanya.
Seorang lagi pelajar, Mohd Hafizi Razali, 16, berkata, walaupun pihak sekolah menyediakan makanan utama seperti nasi dan lauk kari ayam, dia dan rakan-rakan tetap membawa kuih-muih dari rumah untuk dikongsi bersama pada majlis itu.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Pendidikan Kedah, Sektor Pembangunan Murid, Mohd Kamal Hashim; Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Langkawi, Rohaizar Osman dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Mahsuri, Abdul Razak Jusoh.
© New Straits Times Press (M) Bhd




