PADANG Bola Sepak Sintetik UniSports Arena di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) kini sedang menjalani proses penilaian mengikut sistem penarafan padang Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dalam usaha memastikan kemudahan itu mencapai taraf antarabangsa.
Penilaian tersebut dijalankan oleh Acousto-Scan Pty Ltd, sebuah badan bertauliah yang diiktiraf FIFA, merangkumi pelbagai aspek teknikal termasuk ukuran padang, kerataan permukaan, ujian pergerakan bola (ball roll test) dan ujian lantunan bola (ball bounce test).
Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi UniSZA, Riduan Mohamed Arof berkata, sesi penilaian awal mengambil masa kira-kira empat jam dan keputusan penuh dijangka diperoleh dalam tempoh maksimum dua bulan.
“Rumput sintetik yang digunakan ialah jenis LIMONTA Duo Shape 60, dengan ukuran padang 105 meter panjang dan 70 meter lebar yang menepati spesifikasi ditetapkan FIFA,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Menurut beliau, projek pembinaan padang tersebut bermula pada 17 September 2024 dengan kos keseluruhan berjumlah RM2.37 juta dan dijangka siap sepenuhnya pada 17 September 2025.
Beliau berkata, selain dibuka untuk sewaan harian dan kejohanan, padang itu juga bakal menjadi lokasi penganjuran kejohanan peringkat institusi pengajian tinggi (IPT) dan kebangsaan.
“UniSZA juga merancang untuk menjadikan padang ini sebagai pusat pembangunan bola sepak akar umbi menerusi program Soccer Kid UniSZA.
“Pihak universiti amat komited dalam menyediakan kemudahan sukan bertaraf antarabangsa sebagai sebahagian daripada usaha melahirkan pelajar yang cemerlang dari segi akademik dan sahsiah,” katanya.