am@hmetro.com.my
TIDAK mahu ketinggalan memeriahkan industri muzik tanah air sempena kehadiran Syawal, tiga bakat muda, Auddra, Ammar dan Hadie tampil berkolaborasi menerusi lagu terbaharu berjudul Dentam Dentum Raya.
Lagu terbitan Jaja Ishak Channel (JIC), sekali gus membuktikan kredibiliti barisan penyanyi baharu ini dalam membawakan lagu bertemakan lebaran.
Pengerusi JIC, Jaja Ishak berkata, idea untuk menerbitkan lagu terbabit tercetus selepas dia mendapati barisan artis berkenaan mempunyai impak yang sangat besar dalam kalangan netizen.
“Secara jujurnya, saya sudah ada perancangan untuk menerbitkan lagu raya. Selepas membuat kajian di media sosial, saya dapati walaupun mereka bukan pemenang tempat pertama, namun mereka adalah antara figura yang popular.
“Individu pertama yang saya dekati ialah Ina Naim kerana kami ada hubungan yang baik. Saya cadangkan kepada Ina untuk hasilkan lagu buat anaknya, Hadie dan dia memberikan lampu hijau asalkan saya bersetuju,” kata Jaja selepas pelancaran lagu Dentam Dentum Raya oleh JIC Group Sdn Bhd Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin di ibu negara, baru-baru ini.
Menurut Jaja, pembabitan penyanyi lain dalam projek berkenaan mula berkembang selepas Ina Naim mencadangkan supaya turut mengambil Auddra untuk menyanyi lagu terbabit.
“Hasil perbincangan itu, (Kak Shira) Sharifah Shahirah memberikan idea bernas untuk menambah seorang lagi penyanyi bagi memberikan impak yang lebih besar iaitu Ammar, anak penyanyi, Ameng.
“Pada mulanya, saya agak bimbang kerana tidak mengenali Ameng secara dekat dan hanya meminati beliau sebagai peminat biasa. Namun, atas bantuan Kak Shira dan Ina Naim, impian untuk menyatukan mereka akhirnya menjadi kenyataan,” katanya.
Jaja menegaskan faktor utama penyatuan tiga bakat baharu itu berdasarkan pengaruh luar biasa yang dimiliki, sekali gus diyakini mampu menarik perhatian peminat seni tanah air.
Mendapat sentuhan kerjasama daripada JIC, ketiga-tiga artis muda ini menyifatkan projek berkenaan sebagai satu pencapaian bermakna dalam kerjaya seni mereka.
Bagi Ammar atau pemilik nama, Wan Ammar Haikal Wan Aminuddin, 19, berkata, peluang bekerjasama dengan penerbitan JIC adalah tawaran yang sukar ditolak, apatah lagi ia adalah pengalaman pertamanya merakamkan lagu bertema lebaran.
“Sejujurnya kami sangat teruja sebaik sahaja mendapat tawaran ini. Ini adalah tahun pertama kami tampil dengan lagu raya, jadi sudah tentu perasaan itu luar biasa,” katanya.
Nada kegembiraan yang sama turut dikongsi Auddra atau pemilik nama Auddra Zulkifli, 17, yang mengakui sangat gembira dengan projek berkenaan sebaik sahaja mendengar demo lagu terbabit.
“Memang sangat gembira untuk terbabit dalam projek lagu raya ini. Sebaik dengar sahaja lagu itu, terus rasa ‘Eh, ada lagu rayalah’. Memang sangat gembira,” katanya.
Sementara itu, bagi Hadie atau pemilik nama Ehmad Hadie Elfardie Suhaimi, 18, walaupun sebelum ini dia pernah memiliki lagu raya sendiri, namun kolaborasi kali ini memberi kelainan kerana dilakukan bersama rakan rapat.
“Ini kali pertama saya ada lagu raya bersama kawan-kawan. Sebelum ini memang ada, tapi lebih kepada projek bersama keluarga dan ibu bapa.
“Rasa gembira itu lain macam sikit sebab dapat menyanyi dan menjalani penggambaran muzik video (MV) bersama dua rakan saya ini (Ammar dan Auddra),” kongsinya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




