PAFA nafi anjur kongres luar biasa pada 19 Disember ini

IPOH – Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) menafikan akan menganjurkan kongres luar biasa di sebuah hotel di Meru di sini pada 19 Dis ini, kata Setiausaha Kehormatnya, Datuk Seri G. Irudianathan.

Irudianathan berkata satu laporan polis telah dibuat oleh pegawai undang-undang PAFA di Balai Polis Kampung Simee semalam susulan terdapat penyalahgunaan nama persatuan kononnya pihaknya menganjurkan kongres berkenaan.

Beliau berkata pihaknya menerima sepucuk surat bertajuk ‘Notis Kongres Luar Biasa Persatuan Bola Sepak Perak Darul Ridzuan’ daripada ahli-ahli gabungan yang telah dilucutkan keahlian dalam persatuan di pejabat PAFA di sini pada kira-kira 1 tengah hari semalam.

“Ahli-ahli gabungan PAFA ini telah dilucutkan keahlian dan tidak boleh menggunakan nama persatuan sewenang-wenangnya.

“Tujuan laporan polis ini dibuat demi menjaga nama baik persatuan dan mengelakkan daripada penggunaan nama tersebut tanpa izin untuk kepentingan peribadi,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Notis dikeluarkan atas nama Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Kongres Luar Biasa (EGM) Hasnan Omar itu, antaranya mengandungi agenda kongres iaitu untuk memilih Jawatankuasa Eksekutif PAFA musim 2021 termasuk seorang presiden dan timbalan presiden.- BERNAMA