Setahun sekali, ada satu pagi yang buat kita rasa semangat untuk bangun awal (ada yang sanggup tak tidur), sarung baju bertema Jalur Gemilang dan keluar bersama ribuan rakyat Malaysia untuk meraikan hari yang cukup bermakna buat kita semua.
Tahun ini, Ohmedia sekali lagi merasai kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan ke-69, tapi kali ni dari pagi sampai ke malam. Perjalanan kami bermula di Putrajaya, bersama lautan manusia yang hadir untuk menyaksikan perarakan Hari Kebangsaan.

Memang meriah!
Jalur Gemilang berkibar di sana sini, sorakan dan tiupan trumpet bergema setiap kali kontinjen melintas dan walaupun masing-masing datang daripada latar belakang berbeza, pagi itu semua berkongsi satu perasaan yang sama, bangga menjadi rakyat Malaysia.
Bila Tradisi Malaysia Bertemu Masa Depan Di Putrajaya

Antara yang sempat mencuri perhatian kami ketika perarakan berlangsung ialah kontinjen U Mobile dengan jentera perarakan futuristik yang membawa gambaran tentang Malaysia hari ini dan masa hadapan.
Di tengah-tengahnya terdapat sebuah glob yang dikelilingi cincin orbit, melambangkan keterhubungan Malaysia serta perjalanan negara yang terus bergerak ke hadapan menerusi inovasi dan teknologi.
Turut ditampilkan ialah peta Malaysia yang menggambarkan liputan U Mobile serta aspirasinya untuk memperkasakan rakyat menerusi ULTRA5G, selain elemen digital dan kecerdasan buatan (AI) yang semakin memainkan peranan dalam kehidupan seharian.
Tapi futuristik macam mana sekalipun, identiti Malaysia tetap ada. Kalau korang perasan betul-betul pada jentera perarakan tersebut, terdapat motif batik khas U Mobile hasil sentuhan Kapten Batik.
Satu kombinasi yang menarik sebenarnya teknologi dan gambaran masa depan Malaysia dipersembahkan bersama elemen warisan yang cukup dekat dengan identiti kita.

Kemunculan robot dan ‘Abang Sado’’ pula memang berjaya mencuit perhatian orang ramai sepanjang perarakan.
Selesai sambutan sebelah pagi, perjalanan Merdeka kami belum berakhir. Sebelah malamnya, kami bergerak pula ke satu lokasi yang mempunyai tempat cukup istimewa dalam sejarah negara.
Dataran Merdeka.
69 Tahun Lalu, Laungan Keramat ‘Merdeka!’ Bergema Di Sini

Ada sesuatu yang cukup istimewa apabila berdiri di Dataran Merdeka pada malam sambutan Hari Kebangsaan.
69 tahun lalu, di sinilah laungan keramat “Merdeka!” bergema.
Tempat bersejarah ini sekali lagi dipenuhi rakyat Malaysia daripada pelbagai bangsa dan generasi yang datang dengan satu tujuan meraikan negara yang kita panggil rumah.
Kalau pada siangnya kita melihat gambaran Malaysia yang bergerak menuju masa depan, sebelah malam pula kami dibawa untuk melihat manusia-manusia yang selama ini membuatkan Jalur Gemilang berkibar megah di pentas dunia.
Menerusi kolaborasi U Mobile x Astro, kempen “Semangat Membara, Untukmu Malaysia” memberikan tumpuan kepada kisah di sebalik beberapa atlet kebanggaan negara.
Sebab bila bercakap tentang atlet, selalunya kita hanya nampak hasil akhirnya.
Pingat.
Rekod.
Kemenangan.
Tapi sebelum semua itu, ada bertahun-tahun latihan, pengorbanan, kekalahan dan cabaran yang mereka terpaksa lalui. Malam itu, kisah dan perjalanan mereka turut disorot menerusi paparan khas di layar Dataran Merdeka untuk ditonton bersama rakyat Malaysia yang hadir.
Dari Datuk Nicol David Hingga Wira Sepak Takraw Negara, Semua Turun Padang!

Lagi special, bukan kisah mereka sahaja yang kita dapat tengok.
Beberapa atlet negara sendiri turut berada di Dataran Merdeka malam semalam untuk menyambut Hari Kebangsaan bersama rakyat Malaysia.
Antaranya legenda skuasy negara Datuk Nicol David, bekas gimnas negara Farah Ann Abdul Hadi, jaguh angkat berat Aniq Kasdan dan legenda rali negara Karamjit Singh.
Turut bersama ialah Haziq Hairul Nizam, Muhammad Noraizat Mohd Nordin dan Amirul Zazwan Amir, sebahagian daripada skuad sepak takraw lelaki Malaysia yang mencipta sejarah di Sukan SEA Thailand 2025.
Skuad negara berjaya menewaskan musuh tradisi Thailand 2-1 dalam final acara regu berpasukan lelaki untuk membawa pulang pingat emas, sekali gus menamatkan penantian selama 34 tahun sejak kali terakhir Malaysia memenangi acara tersebut pada Sukan SEA 1991 di Manila.
Haziq, Noraizat dan Amirul merupakan regu pertama Malaysia dalam aksi final bersejarah tersebut. Bila difikirkan balik, memang menarik melihat semua nama ini berada di satu tempat.

Mereka datang daripada generasi berbeza. Sukan mereka pun berbeza. Perjalanan masing-masing juga langsung tak sama. Namun, ada satu perkara yang menyatukan mereka, semuanya pernah berjuang membawa nama Malaysia bersama mereka.
Mungkin itulah antara gambaran paling tepat tentang semangat Merdeka.
Kita tak semestinya mempunyai latar belakang, perjalanan atau cerita yang sama untuk berdiri bersama sebagai rakyat Malaysia.
Tak Sempat Datang Malam Merdeka? Kisah Mereka Masih Ada Di Bangunan Sultan Abdul Samad

Kalau korang tak sempat berada di Dataran Merdeka malam semalam, yang menariknya sambutan ini sebenarnya belum berakhir.
Di dalam Bangunan Sultan Abdul Samad, U Mobile dan Astro turut membawakan public art installation sempena kempen “Semangat Membara, Untukmu Malaysia” yang mengetengahkan atlet-atlet kebanggaan negara.


Menerusi instalasi ini, korang boleh mengenali dengan lebih dekat bukan sahaja pencapaian mereka, tetapi juga perjalanan, cabaran dan detik yang membentuk mereka menjadi atlet yang kita kenali hari ini.
Dalam satu ruang, kita dapat melihat pelbagai kisah daripada anak Malaysia yang datang daripada latar belakang dan cabang sukan berbeza, tetapi berkongsi semangat yang sama apabila membawa nama negara.
Kalau nak tengok sendiri, masih sempat!
Public art installation ini boleh dikunjungi di Bangunan Sultan Abdul Samad sehingga 16 September 2026, Hari Malaysia nanti.
So, kalau ada plan turun KL dalam tempoh dua minggu ni, bolehlah singgah.
Hari Merdeka mungkin sudah berlalu, tetapi semangat meraikan apa yang menyatukan kita sebagai rakyat Malaysia masih boleh diteruskan sampai Hari Malaysia nanti.
Langit Dataran Merdeka Pun Turut ‘Bercahaya’

Bukan dekat layar sahaja ada kejutan.
Persembahan dron turut menerangi ruang udara Dataran Merdeka dengan pelbagai formasi khas sempena Hari Kebangsaan.
Antara yang terbentuk di ruang udara ialah ucapan “Selamat Hari Kebangsaan” dan “Terima Kasih Malaysia”, sebelum disusuli paparan U Mobile serta “Rangkaian 5G No.1”.

Sempat juga ada sedikit teaser tentang apa yang bakal menemui rakyat Malaysia selepas sambutan Hari Malaysia nanti apabila formasi dron turut mempromosikan filem tempatan TERBANG.
Lebih menarik, TERBANG bukan sekadar sebuah filem yang muncul dalam persembahan malam itu. Ada kaitan yang cukup dekat antara filem tersebut dengan salah seorang atlet negara yang turut diraikan menerusi kempen “Semangat Membara, Untukmu Malaysia”.
Dari Litar Rali Ke Layar Perak, Kisah Karamjit Singh Bakal ‘TERBANG’

Daripada ramai atlet yang kami temui malam itu, ada satu nama yang kisahnya bakal dapat kita saksikan dalam bentuk yang cukup berbeza tak lama lagi.

Karamjit Singh.
Kalau generasi lama memang rasanya tak perlu diperkenalkan lagi.
Dikenali dengan gelaran “Flying Sikh”, Karamjit merupakan legenda rali negara yang pernah membawa nama Malaysia ke pentas sukan permotoran antarabangsa.
Kali ini, perjalanan dan semangat perjuangannya pula menjadi inspirasi kepada sebuah filem tempatan berjudul TERBANG.

Diarahkan oleh Chiu Keng Guan, pengarah di sebalik filem seperti OlaBola dan The Journey, TERBANG diinspirasikan daripada perjalanan Karamjit dalam mengejar impian dan membawa nama Malaysia dalam dunia rali.

Filem yang bakal ditayangkan di pawagam mulai 17 September 2026 itu dibintangi antaranya Irfan Zaini, Jack Tan, Zizan Razak, Shweta Sekhon, Namron dan Qasrina Karim.
Beberapa barisan pelakon TERBANG turut berada di Dataran Merdeka malam itu untuk sama-sama memeriahkan sambutan.
Kalau difikirkan, perjalanan kami sepanjang Hari Kebangsaan kali ini memang macam membawa kami melihat Malaysia daripada dua sisi.
Pagi di Putrajaya, kita melihat sebuah negara yang terus bergerak ke hadapan dengan teknologi dan inovasi tanpa meninggalkan identitinya.
Malam di Dataran Merdeka pula, kita diingatkan bahawa di sebalik kemajuan itu, ada rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang yang terus membawa nama negara ke tahap lebih tinggi.
Berbeza generasi, berbeza bangsa, berbeza perjalanan, tapi bila Jalur Gemilang dikibarkan, kita tetap membawa satu nama yang sama, Malaysia.
Selamat Hari Kebangsaan dan selamat menuju Hari Malaysia!
Untuk mengetahui lebih lanjut, layari laman web rasmi U Mobile atau ikuti U Mobile di Facebook dan Instagram.
Kongsikan artikel ini
Kongsikan artikel ini jika anda rasa lebih ramai patut mengetahuinya.
BULETIN OH! MEDIA
Baca Yang Paling Best Je.
Berita terbaik terus ke e-mel anda setiap malam. Percuma!
Pautan artikel telah disalin.
Mastura adalah Ketua Penulis Editorial sepenuh masa di Oh! Media, pakar dalam menyampaikan artikel pemasaran dengan gaya yang santai namun penuh informasi, memastikan setiap kandungan mudah difahami dan relevan untuk pembaca.

